Nordin bersama Hairi menunjukkan sebahagian ikan patin yang mati di sangkar. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Nordin bersama Hairi menunjukkan sebahagian ikan patin yang mati di sangkar. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: "Lebih 11 tahun saya terpaksa berhadapan dengan masalah dan kerugian sama apabila ikan patin yang diternak mati mengejut," kata Nordin Mohmmad, ketika ditemui di sangkar ikan miliknya di Kampung Pulau Bahagia, di sini, hari ini.

Nordin, 69, atau lebih mesra dipanggil Pak Awie berkata, dia mengalami kurugian antara RM5,000 hingga RM9,000 pada musim monsun timur laut setiap tahun.

"Lebih 10 penternak ikan patin di sepanjang Sungai Terengganu di kampung ini mengalami kurugian sama setiap tahun.

"Sejak dua minggu lalu hingga hari ini sebanyak 100 hingga 250 ekor ikan patin mati di sangkar saya pada setiap hari.

"Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya setiap kali melihat ratusan ikan yang diternak mati dan terapung di dalam sangkar itu," katanya.

Tambahnya, dia tidak mampu berbuat apa-apa bagi mengatasi masalah ikan mati mengejut itu selain hanya mampu berserah.

"Pada awal menternak dahulu, saya pernah juga berusaha menanggani masalah itu menggunakan ubat yang dijual di pasaran.

"Malangnya inisiatif itu tidak berkesan malah menambah kerugian serta menghabiskan wang kerana kos ubat yang dibeli juga bukan murah.

"Oleh itu jika ikan mati sekarang, saya hanya mampu berserah dan sehingga kini punca utama ikan patin mati tidak dapat disahkan walaupun ada pihak datang mengambil sampel air dan menjalankan ujian dan kajian," katanya yang mempunyai 40 sangkar ikan di situ.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana hanya ikan patin sahaja yang mati dan tidak membabitkan ikan air tawar lain yang diternak seperti ikan baung, keli, talapia dan lampan.

"Tidak tepat jika ingin mendakwa kualiti air sungai yang bermasalah dan menyebabkan kematian ikan patin itu kerana ikan-ikan jenis lain tidak mati.

"Oleh itu, saya merayu pihak bertanggungjawab kenal pasti punca utama masalah itu berlaku dan berusaha mengatasinya kerana semua penternak sudah tidak sanggup lagi berhadapan kerugian sama pada setiap tahun," katanya.

Sementara itu Hairi Abdillah, 31, berkata, dia baru tiga tahun membabitkan diri dalam bidang penternakan ikan air tawar itu.

"Sudah tiga tahun berturut-turut saya mengalami kurugian kerana ikan patin diternak mati mengejut.

"Jika diikutkan hati ingin sahaja berhenti menternak tetapi kerana minat, tetap teruskan walaupun sedia maklum dengan masalah yang terpaksa dihadapi.

"Saya hanya memiliki enam sangkar dengan modal yang kecil berbanding penternak lain, oleh itu jika ditimpa masalah seperti itu memang lebih dirasai," katanya.

Nazwadi Nordin, 40, berkata, kos kerugian yang ditanggung besar dan bergantung kepada saiz dan jumlah ikan di dalam sangkar dimiliki.

"Penternakan ikan air tawar berhadapan dengan pelbagai cabaran dan risikonya. Selain ikan mati mengejut seperti itu ancaman pemangsa seperti memerang juga menjadi masalah utama yang membelenggu penternak.

"Oleh itu saya berharap pihak bertanggungjawab prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh penternak ikan itu dan tampil membantu dengan bantuan yang sewajarnya," katanya.

Menurutnya, dia tidak pasti sampai bila penternak mampu bertahan dan terus menjalankan kegiatan penternakan di sungai itu.

"Jika asyik mengalami kerugian sahaja lama kelamaan dibimbangi penternak serik dan berhenti menternak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 11:46 AM