SEORANG pelanggan menunjukkan ikan patin seberat lebih 10 kg yang berjaya ditangkap nelayan darat tempatan. FOTO Ahmad Ismail.
SEORANG pelanggan menunjukkan ikan patin seberat lebih 10 kg yang berjaya ditangkap nelayan darat tempatan. FOTO Ahmad Ismail.
Ahmad Ismail


Segamat :Puluhan ekor patin liar berjaya didaratkan nelayan ketika air Sungai Segamat keruh susulan hujan sejak beberapa hari lalu.

'Stok' yang banyak itu menjadikan harganya lebih rendah berbanding biasa.

Peraih ikan air tawar, Shamsul Bahari Ibrahim, 66, dari Kampung Kampung Paya Pulai berkata, dia menerima puluhan ekor ikan berkenaan daripada nelayan tempatan sepanjang awal minggu lalu hingga kini.

Katanya, patin yang berjaya ditangkap nelayan bersaiz antara 8.5 dan 15 kilogram (kg) dan dijual dengan harga antara RM15 dan RM25 sekilogram.

"Patin liar Sungai Segamat tidak mahal seperti patin di sekitar Sungai Pahang, jadi orang kampung mampu membelinya dan tak susah jugalah dipasarkan. Patin bersaiz besar terpaksa dijual lebih murah berbanding bersaiz kecil," katanya ditemui di sini, hari ini.

Seorang nelayan, Mohd.Ramli Ibrahim 56, berkata, dia berjaya mendaratkan empat ekor patin bersaiz antara 6.5 kilogram dan 15 kg.

Katanya, semuanya berjaya dijual di kedai runcit dalam kampung yang turut menjual ikan-ikan laut dan sayur-sayuran.

Manakala, Syamsul Bahrin Md Diah, 59, dari Kampung Pogoh, berkata, dia berjaya menaikkan patin seberat 18 kg.

Katanya, ketiga-tiga patin itu dipotong-potong dan habis dijualnya sendiri dengan harga RM22 setiap kg.

Sementara itu, Abdul Manan Saharuddin 47, dia menjual tangkapannya di kampung saja kerana mendapat permintaan gerai makan dan warung yang biasa terutama cuti hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 5:38 PM