LIMA buah sangkar tilapia dan jelawat milik Halim yang musnah dilanda kepala air pada Jumaat lalu menyebabkan dia kerugian RM800,000. FOTO Mohd Rashidi Yusuf
LIMA buah sangkar tilapia dan jelawat milik Halim yang musnah dilanda kepala air pada Jumaat lalu menyebabkan dia kerugian RM800,000. FOTO Mohd Rashidi Yusuf
Mohd Rashidi Yusuf

Lenggong: Pengusaha ternakan ikan darat dalam sangkar tidak patah semangat walaupun mengalami kerugian yang dianggarkan kira-kira RM800,000 apabila projek diusahakannya musnah dilanda kepala air pada Jumaat lalu.

Halim Bakar, 73, tinggal di Kampung Kelantan, Kuak dekat sini, berkata, dia tetap akan meneruskan usahanya walaupun terpaksa menanggung kerugian kali kedua selepas banjir besar 2014.

Menurutnya, kerugian mengusahakan sesuatu projek kerana dilanda musibah adalah perkara biasa yang orang lain juga tidak terlepas mengalaminya.

Sebaliknya, dia berasa bersyukur kerana beberapa pihak antaranya Jabatan Perikanan Hulu Perak, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Penghulu Mukim Durian Pipit datang melawat selepas projeknya ditimpa musibah.

"Ini musibah kali kedua, ketika banjir besar pada 2014 saya alami kerugian kira-kira RM1 juta," katanya.

Dalam kejadian itu, lima sangkar ternakan ikan darat yang diusahakannya di Lubuk Puteri, Sungai Perak dekat sini musnah.

Kepala air itu menyebabkan sangkar ternakan ikan tilapia dan jelawat kemek dan ada yang pecah, manakala dua sangkar milik jirannya turut musnah.

Menurut Halim, empat sangkarnya mengandungi kira-kira 100,000 ikan tilapia bersaiz antara 500 gram hingga 1.4 kilogram dan satu lagi ada 5,000 ekor jelawat bersaiz antara 800 gram hingga 1.5 kilogram.

"Ikan di kelima-lima sangkar itu berusia kira-kira enam bulan dan hanya baru beberapa kali hasilnya dapat dijual kepada peraih.

"Hasil ternakannya selama ini dijualnya kepada Restoran Tasik Raban, Pasar Besar Lenggong, Gerik dan Kuala Kangsar dan sebuah restoran di Selangor secara borong dengan harga antara RM14 dan RM16 untuk ikan tilapia dan RM25 bagi ikan jelawat sekilogram.

"Sayang sekali kerana ikan-ikan itu terutamanya tilapia yang sebahagiannya tidak dapat keluar dari sangkar yang kemek dan mati lemas begitu sahaja.

"Saya anggarkan hanya 40 peratus sahaja yang berjaya keluar dari sangkar yang pecah," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 4:36 PM