AZRANAbdul Sani, 58. seorang  nelayan sungai  di Kampung Pagi di Jerantut, berasa bertuah  kerana  berjaya menaikkan ikan tapah seberat 40 kilogram   selepas menahan tajur  di Sungai Tembeling. FOTO Ihsan Pembaca
AZRANAbdul Sani, 58. seorang nelayan sungai di Kampung Pagi di Jerantut, berasa bertuah kerana berjaya menaikkan ikan tapah seberat 40 kilogram selepas menahan tajur di Sungai Tembeling. FOTO Ihsan Pembaca
Roselan Ab Malek


"HAMPIR setengah jam juga untuk naikkan ikan tapah yang saya anggap rezeki Ramadan. Malah ini adalah ikan paling berat pernah dapat," kata Azran Abdul Sani, 58.

Azran, seorang nelayan sungai di Kampung Pagi di Jerantut berasa bertuah kerana berjaya menaikkan ikan tapah seberat 40 kilogram (kg) dengan dua meter panjang selepas menahan tajur di Sungai Tembeling.

"Saya menahan beberapa batang tajur di kawasan lubuk di sungai Tembeling petang semalam dengan menggunakan umpan hidup iaitu anak ikan.

"Pagi ini, dua daripada tajur bergerak-gerak dan saya sudah jangka dapat ikan. Bila angkat tali tajur itu, saya dapat dua ekor ikan tapah seberat 40 kg dan 8.6 kg

"Ikan besar saya ambil masa kira-kira setengah jam untuk menaikkannya kerana ia melawan dan saya perlu berhati-hati bimbang talinya putus," katanya.

Menurutnya, ikan itu adalah paling berat pernah ditangkapnya selepas kali terakhir menangkap ikan sama seberat 31 kg, lima tahun lalu.

Katanya, dia menganggap kejayaannya itu sebagai rezeki Ramadan di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan duit jualan akan digunakan untuk persiapan hari raya kelak.

Katanya, kedua-dua ekor ikan itu habis dijual dengan harga RM45 sekilogram kepada penduduk kampung.

"Kalau ikut harga pasaran ikan tapah boleh mencecah RM60 setiap kg jika dijual kepada peraih tetapi memandangkan masih dalam tempoh PKP, saya jual sendiri kepada penduduk kampung.

"Syukur dan boleh dikatakan ini rezeki tambahan buat kami sekeluarga dalam Ramadan," katanya yang dapat menjual kesemua ikan itu dalam masa dua jam sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 3:21 PM