ANTARA tertuduh yang dikenakan denda oleh Mahkamah Majistret Pekan kerana melanggar PKP. FOTO Ihsan IPD Pekan.
ANTARA tertuduh yang dikenakan denda oleh Mahkamah Majistret Pekan kerana melanggar PKP. FOTO Ihsan IPD Pekan.
Mohd Rafi Mamat


MAHKAMAH Majistret Pekan menjatuhkan hukuman denda antara RM900 hingga RM1,000 terhadap 13 individu termasuk seorang wanita kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Semua tertuduh berusia antara 15 dan 54 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara bersama mengikut Peraturan 3 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didapati berhimpun bagi maksud sosial di dalam kawasan tempat jangkitan iaitu di Felda Chini (1 kes), Kampung Bukit Kenau (1) Kampung Air Leleh (1), Kampung Tanah Putih (1), Kampung Batu Balik (1), Kampung Bentan (2) dan Kampung Kuala Pahang (2) antara jam 5 petang hingga 10 malam pada 26 hingga 29 Mac yang membawa kepada penangkapan mereka pada hari sama.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Peraturan 7, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap tertuduh.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurhalimatun Saadiah Abdullah di hadapan Majistret Azizah Ahmad terhadap 13 tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Azizah mengenakan denda antara RM900 hingga RM1,000 terhadap 13 tertuduh.

Sementara, di mahkamah sama empat tertuduh bawah umur diberikan tawaran jaminan mahkamah antara RM350 hingga RM450 sementara menunggu laporan akhlak diterima.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 3:06 PM