FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


REMAJA lelaki yang sebelum ini dikenakan kompaun RM1,000 kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih tidak serik apabila sekali lagi ditahan kerana kesalahan sama.

Kedegilan remaja berusia 18 tahun dari Kampung Baru Kelulut, Marang membawa padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang hari ini kerana melanggar PKP.

Tertuduh yang memberi alasan keluar ke rumah rakannya untuk membeli rokok mengangguk faham sebelum mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bergerak dari satu tempat yang lain iaitu dari Kampung Baru Kelulut, ke suatu tempat yang lain iaitu di tepi jalan Kampung Gong Merawang, pada 10.45 malam pada 16 April lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Peraturan 3 (1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 berdepan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 Jun depan untuk tarikh jatuh hukum sementara menunggu laporan akhlak tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, di mahkamah sama, tiga lelaki berusia antara 21 hingga 37 tahun masing-masing didenda RM1,000 atau sebulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Engku Nurul Ain membuat keputusan itu selepas tertuduh, Muhammad Fitri Mohd Nor, 21; Amirul Mustaqim Maidin, 21 dan Mohd Harzuki Deraman, 37, mengaku salah atas pertuduhan melanggar PKP.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di daerah ini antara 2 petang dan 10.45 malam pada 16 April lalu.

Selain itu, Muhammad Fitri yang turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam turut didenda RM2,500 atau lima bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Pendakwaan kesemua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Lishantini manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 6:27 PM