Abdul Rahemang Taiming

LAPAN wanita antara 20 individu yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau hari ini atas tuduhan penyalahgunaan dadah dalam parti liar di sebuah kediaman mewah Taman Nordin, Selasa lalu.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh berumur antara 21 hingga 31 tahun itu didakwa mengambil Amphetamine, Methamphetamine dan Ketamin ketika menjalani ujian saringan air kencing di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada 30 Jun dan 1 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5000.00 atau penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.

Pegawai Pendakwa Dg Nur Azarinawaty Ag Kachee kemudiannya menawarkan jaminan berjumlah RM5,000 dengan dua orang penjamin tempatan terhadap semua tertuduh kecuali tiga tertuduh warga asing.

Mahkamah kemudiannya membenarkan 17 tertuduh diikat jamin RM1,800 dengan dua penjamin tempatan dan menetapkan 4 dan 8 Ogos depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu keputusan ujian kimia (air kencing) kesemua tertuduh.

SEBAHAGIAN daripada tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan penyalahgunaan dadah dan ingkar PKPP selepas ditahan ketika menyertai pesta liar di sebuah kediaman mewah di Taman Nordin, pada Selasa lalu. FOTO ABDUL RAHEMANG TAIMING
SEBAHAGIAN daripada tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan penyalahgunaan dadah dan ingkar PKPP selepas ditahan ketika menyertai pesta liar di sebuah kediaman mewah di Taman Nordin, pada Selasa lalu. FOTO ABDUL RAHEMANG TAIMING

Sementara tiga tertuduh warga Indonesia iaitu Kimberley Hendrikus, 24, Abdul Sidi Mulpi, 29; dan Mohd Iqbal Japar, 22, turut didenda RM1,000 selepas mengaku salah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Mereka didakwa melanggar Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempat jangkitan (No.7) (2020) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dzul Elmy, ketika menjatuhkan hukuman menegaskan tindakan berkumpul dalam jumlah yang ramai semata-mata untuk bersosial adalah perbuatan tidak bertanggungjawab yang dilihat seolah-olah melepas geram serta tidak menghargai usaha negara yang ketika ini bersungguh-sungguh melaksanakan PKPP demi memutuskan rantaian Covid-19.

Beliau turut memerintahkan ketiga-tiga mereka yang tidak diwakili peguam itu dihukum penjara 30 hari jika gagal membayar denda berkenaan selain dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 5:45 PM