Suspek yang ditahan. FOTO Ihsan PDRM
Suspek yang ditahan. FOTO Ihsan PDRM
Hazsyah Abdul Rahman


NIAT seorang pemuda untuk membeli dadah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) gagal selepas dicekup polis di Kampung Puyut, Lahad Datu, lewat malam semalam.

Dalam kejadian 11.30 malam, suspek berusia 23 tahun berkenaan diberkas kerana melanggar PKP.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum kejadian sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotor (URB) melakukan pemantauan di lokasi terbabit.

Menurut, suspek kemudiannya muncul dengan menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

“Lelaki itu kemudiannya diminta berhenti dan mengemukakan sebarang dokumen berkaitan PKP namun gagal.

“Suspek juga gagal mengemukakan sebab munasabah mengapa berada di lokasi itu. Pemuda itu ditangkap lalu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut mendapati, suspek keluar dari rumahnya di Kampung Tabanak untuk ke Kampung Puyut bagi membeli dadah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Nasri berkata, siasatan ke atas suspek diteruskan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 22(b)Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988(Akta 342) dan Peraturan 3(1)Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat Berjangkit) 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 2:47 PM