MOHD Hafiz Azwan (kiri sekali) dan adiknya, Mohd Farhan Azwan berniaga di bazar tahun lalu. FOTO HASSAN OMAR
MOHD Hafiz Azwan (kiri sekali) dan adiknya, Mohd Farhan Azwan berniaga di bazar tahun lalu. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


KERAJAAN negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak mengizinkan bazar Ramadan diadakan di seluruh Melaka tahun ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19

Pengarah Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Mohd Derus Che Mat berkata, MBMB membekukan permohonan untuk mendapatkan lesen perniagaan itu.

“Sebagaimana PKP, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, KPKT dan kerajaan negeri membuat keputusan tidak akan membenarkan aktiviti pasar dan bazar Ramadan diadakan di seluruh Melaka pada Ramadan tahun ini.

“MBMB tidak akan mempertimbangkan permohonan lesen perniagaan bagi maksud berkaitan,” katanya di sini kelmarin melalui pekeliling kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) di Melaka.

Sementara itu, peniaga Mohd Hafiz Awan, 34, berkata dia dan kebanyakan peniaga berkenaan dimaklumkan mengenai perkara itu melalui hantaran aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook kelmarin.

“Kami menerima qada dan qadar Allah dengan reda kerana segala-galanya adalah daripada Tuhan yang menurunkan wabak itu ke seluruh dunia, termasuk negara kita.

“Walaupun sedih kerana tidak dapat berniaga di bazar Ramadan seperti tahun sebelum ini, kami terpaksa menerimanya dengan hati terbuka dan berdoa supaya

wabak Covid-19 segera berakhir,” katanya ketika ditemui di pekan Masjid Tanah di sini.

Peniaga air tebu, Mahat Othman, 60, berkata beliau menerima keputusan kerajaan negeri dan KPKT itu dengan penuh reda kerana wabak Covid-19 mengancam nyawa manusia sejagat.

“Kita bertanggungjawab untuk memutuskan rantaian virus Covid-19 dengan cara tidak keluar rumah dan sentiasa membasuh tangan untuk mengelak dijangkiti virus yang berbahaya itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 1:13 PM