Mohd Hilmie Hussin


SUDAHLAH ada yang ponteng puasa, ramai juga tidak menghormati Ramadan dengan berjudi.

Begitulah senario yang dapat dilihat hasil Operasi Judi Siber diketuai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di empat premis rumah kediaman di Ayer Molek, Melaka Baru dan Pulau Gadong Perdana, Melaka, hari ini.

Operasi bermula dari 11 pagi hingga 2 petang itu disertai 30 anggota termasuk polis, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM, Datuk Rahimin Bani berkata, sejurus anggota penguat kuasa tiba sekumpulan kaki judi bertempiaran lari meninggalkan rumah yang dijadikan premis judi siber itu.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas 16 set komputer di premis di Melaka Baru untuk tindakan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka.

“MBMB pula merampas 33 set komputer dalam serbuan di Ayer Molek. Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan,” katanya yang mengesahkan nilai keseluruhan rampasan berjumlah hampir RM10,000.

Rahimin berkata, beliau kecewa dan sedih melihat masyarakat beragama Islam tidak menghormati Ramadan apabila masih bermain judi siber.

“Lebih menyedihkan, apabila premis judi yang kita periksa semuanya di dalam kawasan perumahan dan bukannya premis kedai.

“Terdapat botol arak yang habis diminum, termasuk premis menyediakan perkhidmatan menyediakan air minuman panas,” katanya.

Beliau berkata, meskipun kini sudah berada di penghujung Ramadan, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dan berterima kasih kepada penduduk yang memberikan maklumat berkaitan aktiviti perjudian serta ponteng puasa di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 4:33 PM
ANTARA komputer yang dirampas ketika Operasi Judi Siber anjuran Jabatan Agama Islam (JAIM) dengan kerjasama MBMB dan MPHTJ di sekitar Melaka Tengah. FOTO Ihsan JAIM
ANTARA komputer yang dirampas ketika Operasi Judi Siber anjuran Jabatan Agama Islam (JAIM) dengan kerjasama MBMB dan MPHTJ di sekitar Melaka Tengah. FOTO Ihsan JAIM