Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Penutupan bazar Ramadan Bazar Nenas Kampung Selabak, Teluk Intan bukan disebabkan ingkar prosedur operasi standard (SOP), tetapi berpunca daripada pengesanan kontak kes Covid-19 demi keselamatan pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, pihaknya akur dengan arahan dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu.

"Ia sebenarnya bukan isu penjarakan fizikal atau isu bazar tidak mematuhi SOP, tetapi dari segi contact tracing (pengesanan kontak). Ada risiko tinggi untuk bergejala yang berpunca daripada pengunjung.

"Kita akur kerana ianya mempunyai isu daripada segi risiko keselamatan kesihatan pelawat, penutupan bermula hari ini dan kita akan melihat apa akan berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Khatam Al-Quran Wanita Perak Anjuran Pertubuhan Kebajikan Wanita Erat Perak (Erat), di sini, hari ini.

Turut hadir, Penasihat Erat Perak, Dr Najihatussolehah Ahmad dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Wanita Perak, Rohaya Bakar.

Nolee Ashilin berkata, kerajaan negeri kini menilai bentuk bantuan untuk disalurkan kepada 30 peniaga sekiranya mereka tidak dibenarkan berniaga sehingga ke hujung Ramadan.

Katanya, setakat ini pihaknya tidak mendapat arahan penutupan untuk mana-mana bazar lain yang berada di negeri ini.

"Ada yang dikeluarkan amaran tetapi situasi sudah diperbaiki, jadi kita tidak mempunyai arahan untuk menutup bazar lain setakat ini," katanya.

Nolee Ashilin (tengah) bercakap pada sidang media. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Nolee Ashilin (tengah) bercakap pada sidang media. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Semalam, kerajaan mengarahkan operasi perniagaan di 22 bazar Ramadan di tujuh negeri termasuk Kuala Lumpur ditutup mulai hari ini selepas dikesan berlaku penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pengunjung.

Di Perak, hanya bazar Ramadan Bazar Nenas Kampung Selabak di Teluk Intan diarahkan tutup.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 2:07 PM