Gambar fail, bazar Ramadan. FOTO NSTP
Gambar fail, bazar Ramadan. FOTO NSTP
Amir Mamat


MELAKA belum memutuskan sama ada penganjuran bazar Ramadan di negeri itu diteruskan atau sebaliknya.

Ketua Menterinya Datuk Sulaiman Md Ali berkata, pihaknya masih berbincang dengan pihak berkaitan mengenai kaedah terbaik boleh dilakukan demi kepentingan semua sama ada peniaga, pembekal dan pengguna keseluruhannya.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir pada 14 April, manakala awal Ramadan dijangka pada 24 April. Jadi kita ada masa 10 hari untuk melihat situasi semasa wabak Covid-19 sama ada PKP akan dilanjutkan ataupun tidak.

“Sementara itu, kami masih meneliti dan bincang mengenai keperluan bazar Ramadan beroperasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sulaiman berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah mengeluarkan arahan supaya semua bazar Ramadan dibatalkan susulan pandemik itu

Namun katanya, kerajaan negeri mahu menilai faktor semasa sebelum membuat sebarang keputusan.

“Berilah saya sedikit masa untuk berbincang dengan pihak yang berkenaan untuk mendapatkan kaedah terbaik,” katanya.

Baru-baru ini, tular di media sosial bahawa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan membatalkan semua bazar Ramadan di bawah pentadbirannya.

Sementara itu, Datuk Bandar MBMB, Datuk Mansor Sudin ketika dihubungi berkata, surat yang tular itu adalah pembatalan bagi dua bazar Ramadan yang pernah diluluskan sebelum ini iaitu bazar Ramadan Klebang dan Telok Mas.

Bagaimanapun, kata Mansor, pihaknya akan mengikut sebarang keputusan terkini dibuat kerajaan negeri.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2020 @ 6:27 PM