KUMPULAN rakyat Malaysia dari Tehran yang tiba dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA), hari ini. FOTO Ihsan Bomba
KUMPULAN rakyat Malaysia dari Tehran yang tiba dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA), hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Noor Atiqah Sulaiman


WISMA Putra sedang bertungkus-lumus untuk membawa pulang semua rakyat Malaysia yang kini sedang terkandas di luar negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pihaknya sedang mencari jalan penyelesaian supaya rakyat Malaysia di luar negara dapat kembali ke tanah air dengan segera.

“Seperti semua sedia maklum, walaupun ramai (rakyat Malaysia) dapat dibawa pulang ke tanah air, namun masih ada rakyat kita yang terkandas di luar negara susulan pendirian kerajaan di sana berkait Covid-19.

“Kami di Wisma Putra sedang bertungkus-lumus mencari jalan penyelesaian semua dapat pulang dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hishammuddin berkata, beliau tahu ada segelintir masyarakat di negara ini tidak bersetuju dengan tindakan membawa pulang rakyat Malaysia di luar negara kerana bimbang ia akan meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.

“Namun, saya ingin menegaskan saya tidak akan pernah berhenti berusaha untuk bawa rakyat Malaysia pulang.

“Negara ini milik mereka juga. Jadi mereka ada hak untuk pulang ke tanah air pada bila-bila masa. Pun begitu, saya juga mahu mengingatkan mereka yang dibawa pulang ini, apabila tiba di Malaysia, patuhilah Perintah Kawalan Pergerakan. Pastikan juga diri dikuarantin selama 14 hari.

“Biarpun agak membebankan, namun langkah ini penting untuk menghentikan penularan Covid-19. Kerajaan dan Wisma Putra sudah membantu saudara saudari untuk pulang.

“Jadi saya harap, saudara saudari juga boleh menjadi rakyat yang bertanggungjawab. Saya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia, dalam kita mendepani Covid-19 ini, ketepikan segala perbezaan dan hapuskanlah kebencian. Sekarang ialah masa untuk kita mengutamakan kesihatan diri serta kepentingan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata pihaknya juga sentiasa berkomunikasi dengan beberapa negara lain bagi mendapatkan bantuan perangi Covid-19.

“Dalam keadaan sekarang, bukan sahaja kita tidak boleh berkira-kira untuk membantu sesama sendiri, tetapi juga kita perlu bersikap terbuka untuk menerima bantuan daripada sesiapa sahaja yang diyakini ikhlas untuk membantu kita.

“Wisma Putra misalnya, sentiasa berkomunikasi dengan Kerajaan China. Keakraban inilah yang membuatkan China tanpa ragu menghulurkan bantuan peralatan perubatan seperti topeng mulut dan hidung, hand sanitizer (cecair pencuci tangan), dan ‘test kit’ (kelengkapan ujian) Covid-19 dan kelengkapan keselamatan untuk kegunaan mereka yang memerlukan.

“Wisma Putra juga sentiasa bekerjasama rapat dengan negara jiran seperti Indonesia bagi berkongsi maklumat serta membantu mengenal pasti rakyat Malaysia yang hadir perhimpunan tabligh di sana baru-baru ini.

“Selain itu, kita juga berganding bahu dengan kerajaan Singapura demi membantu rakyat Malaysia yang bekerja di sana, yang sebahagiannya terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan ini. Malah, kita juga sentiasa berhubung dengan rakan negara di Timur Tengah (Asia Barat) bagi mendapatkan pertolongan untuk perangi Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 9:42 AM