KONSERT orkestra maya yang dipersembahkan oleh 60 pemuzik dari 26 negara bagi memperingati sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-63. FOTO WISMA PUTRA
KONSERT orkestra maya yang dipersembahkan oleh 60 pemuzik dari 26 negara bagi memperingati sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-63. FOTO WISMA PUTRA
BERNAMA

WISMA Putra menganjurkan konsert orkestra maya yang dipersembahkan oleh 60 pemuzik dari 26 negara bagi memperingati sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-63 hari ini.

Persembahan orkestra berdurasi lebih 40 minit itu dikendalikan oleh Ahmad Muriz Che Rose selaku konduktor, dengan pemilihan lagu berkonsepkan patriotik seperti 'Negaraku', 'Cindai', 'Puteri Santubong', 'Warisan', 'Tanah Pusaka', 'Bahtera Merdeka' dan 'Malaysia Prihatin'.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Wisma Putra bekerjasama dengan Orkestra Filharmonik Malaysia yang berpangkalan di Dewan Filharmonik Petronas bagi menganjurkan majlis sambutan itu.

"Selaras dengan semangat dan nilai rakyat Malaysia iaitu perpaduan dalam kepelbagaian, pemuzik itu menampilkan lagu-lagu kegemaran tempatan. Pelbagai alat muzik digunakan tetapi anda semua hanya mendengar satu simfoni yang indah.

"Inilah Malaysia yang kita cintai, hargai dan pertahankan. Inilah Malaysia yang kita banggakan," katanya dalam rakaman video khas yang dipaparkan secara langsung menerusi Facebooknya.

Hishammuddin berkata tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu 'Malaysia Prihatin' mencerminkan realiti dan semangat rakyat Malaysia yang bersatu padu pada masa yang mencabar ini.

"Ini juga mencerminkan semangat patriotisme, perpaduan dan cinta kita terhadap negara tanpa mengira bangsa, agama atau fahaman politik. Ini adalah maksud sebenar 'Malaysia Prihatin'," katanya.

Hishammuddin juga mengambil kesempatan menzahirkan penghargaan kepada barisan depan warga Wisma Putra dan kedutaan Malaysia di luar negara yang bertungkus lumus membantu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara ekoran penularan wabak Covid-19 dan masih terus memantau keadaan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 7:16 PM