SEORANG wanita memakai penutup hidung dan mulut sebagai langkah berjaga-jaga dari wabak Covid-19. FOTO AFP
SEORANG wanita memakai penutup hidung dan mulut sebagai langkah berjaga-jaga dari wabak Covid-19. FOTO AFP
Muhaamad Hafis Nawawi


KEMENTERIAN Luar Negeri memberi keutamaan kepada rakyat Malaysia yang berada di Itali dan Iran untuk dibawa pulang ke negara ini berikutan penularan wabak Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pada masa sama beliau juga mengarahkan Wisma Putra, hari ini untuk melihat rakyat Malaysia yang berada di Amerika Syarikat juga.

“Saya ingatkan rakyat Malaysia di negara terjejas supaya berdaftar dan sentiasa berhubung dengan kedutaan kita bagi memudahkan kita pantau serta hulur bantuan konsular.

“Hal ini supaya perkara tidak diingini (jangkitan Covid-19) berlaku di negara berkenaan,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Beliau juga berterima kasih kepada seluruh warga Wisma Putra termasuk Perwakilan Malaysia di luar negara atas kesungguhan sepanjang krisis ini.

“Kepada rakyat dalam negara pula, saya harap semua patuh perintah kawalan pergerakan ini.

“Saya juga menyeru dan merayu agar kita menjaga keselamatan dan kesihatan. Kita mesti perangi wabak Covid-19 ini bersama-sama dan doakan juga, semoga wabak ini segera berakhir,” katanya.

Selain itu, katanya, kakitangan Wisma Putra akan bekerja seperti biasa apabila Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan berkuat kuasa tengah malam ini.

“Biarpun (kerja) perlu dilaksanakan dari rumah, atas talian atau apa jua cara. Ia penting, demi memastikan fokus serta perancangan Wisma Putra berkaitan Covid-19 tidak terganggu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 2:13 PM