Hishammuddin Hussein ketika sidang media. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Hishammuddin Hussein ketika sidang media. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Suraya Roslan


SERAMAI 54,430 rakyat Malaysia dan 841 penjawat awam kini berada di 10 negara paling teruk terjejas dengan Covid-19.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, jumlah itu berdasarkan rekod terkini Wisma Putra di 10 negara terjejas iaitu China, Korea, Itali, Iran, Jepun, Perancis, Jerman, Sepanyol, Amerika Syarikat dan Switzerland yang berdaftar dengan perwakilan Malaysia di sana.

“Saya faham kebimbangan rakyat berhubung Covid-19, apatah lagi selepas membaca mengenai situasi terkini di Itali yang tular di media sosial.

“Saya juga sedar, rakyat tertanya-tanya apa tindakan kerajaan khususnya dalam usaha membantu rakyat kita di sana. Saya beri jaminan, Wisma Putra sememangnya telah dan akan terus berhubung rapat dengan kerajaan Itali termasuk meneliti perihal logisitik serta berkongsi kaedah yang kita gunakan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari China sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Katanya, beliau sudah mengarahkan Timbalannya, Datuk Kamaruddin Jaffar mengetuai ‘taskforce’ mengenal pasti langkah lebih serius dalam usaha membantu rakyat Malaysia sepanjang krisis itu.

“Gesaan saya juga supaya kita kekal tenang dan jangan beremosi. Kepada rakyat kita di luar sana pula, pastikan berdaftar dengan pihak perwakilan Malaysia di negara masing-masing bagi memudahkan bantuan konsular sekiranya diperlukan.

“Malah, saya berharap rakyat Malaysia di luar negara yang belum mendaftar dengan Perwakilan-Perwakilan kita di negara yang mereka diami, untuk segera berbuat demikian.

“Ia penting demi memudahkan pihak Perwakilan menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada mereka. Pihak Perwakilan di negara masing-masing boleh dihubungi melalui talian yang tertera seperti dalam pautan https://www.kln.gov.my/web/guest/malaysian-mission,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 3:56 PM