ROSLINDA membersihkan peralatan taska di Taska Hawary. FOTO Omar Ahmad
ROSLINDA membersihkan peralatan taska di Taska Hawary. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


PERSATUAN Taska negeri Johor meminta kerajaan memberi perhatian terhadap sektor itu yang dilihat sama penting sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Presidennya, Nor Faizah Abdul Hamid berkata, sebahagian besar ibu bapanya bertugas dalam 25 sektor yang menjadi penggerak negara dan barisan hadapan dalam tempoh itu menghantar anak di taska.

Katanya, ramai ibu bapa ini memohon supaya taska dibuka kerana mereka berdepan kesukaran mencari penjaga terutama anak yang masih kecil.

NOR Faizah Abdul Hamid. FOTO Omar Ahmad
NOR Faizah Abdul Hamid. FOTO Omar Ahmad

“Saya mewakili pengusaha taska memohon kerajaan memberi perhatian supaya kami juga termasuk dalam 25 sektor pekerjaan yang diperlukan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Di Johor ada 200 taska yang berdaftar dan hanya dua dibenarkan beroperasi iaitu di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Permai bagi menjaga anak petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Tetapi taska yang lain juga terdapat ibu bapa anak asuhan mereka yang bekerja sebagai doktor dan jururawat misalnya terpaksa menghantar anak mereka kepada orang lain kerana taska tidak beroperasi.

“Sekiranya dibenarkan beroperasi, kami akan hanya membenarkan ibu bapa mereka berada di barisan hadapan untuk dihantar anak bagi meringankan bebanan dan kerisauan mereka,” katanya ketika ditemui pada operasi pembersihan taska di Bandar Dato Onn di sini, hari ini.

Menurut Nor Faizah, ada pihak menawarkan untuk menjaga anak-anak kakitangan 25 sektor terbabit sama ada dikenakan bayaran atau percuma.

Katanya, ia membimbangkan kerana pihak terbabit tiada asas serta kelayakan pendidikan awal kanak-kanak.

“Sejak pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan, ada pihak menawarkan khidmat menjaga antara tujuh 7 hingga 10 kanak-kanak dalam satu masa.

“Mereka tiada pengetahuan dan kelayakan dalam pendidikan awal kanak-kanak. Malah adakah mereka faham langkah untuk mengelak penyebaran wabak Covid-19 mengikut prosedur betul membabitkan kanak-kanak?” katanya.

Katanya, sekiranya taska dibenarkan beroperasi dalam tempoh ini, ia tertakluk kepada enam Akta sedia ada seperti Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, Akta Polis1967, Akta Kerja 1955, Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984,Akta Pusat Jagaan 1993 dan Akta Pihak Berkuasa Tempatan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 1:39 PM