UMMI Rohimah, pengusaha Taska/Transit Ummi Mutiara masih tidak beroperasi walaupun kerajaan membenarkan taska beroperasi bermula hari ini. FOTO Ihsan Persatuan Pendidik Taska Swasta Negeri Terengganu (PPTNT)
UMMI Rohimah, pengusaha Taska/Transit Ummi Mutiara masih tidak beroperasi walaupun kerajaan membenarkan taska beroperasi bermula hari ini. FOTO Ihsan Persatuan Pendidik Taska Swasta Negeri Terengganu (PPTNT)
Zatul Iffah Zolkiply

WALAUPUN kerajaan membenarkan semua Taman Asuhan Kanak-kanak (taska) beroperasi bermula hari ini, kebanyakan pengusaha di Terengganu mengambil pendekatan menangguhkan operasi bagi menjamin keselamatan anak-anak.

Pengusaha Taska/Transit Ummi Mutiara di Permint Jaya, Ummi Rohimah Hasan berkata, pihaknya mengambil keputusan tidak beroperasi kerana tidak mahu menanggung risiko apatah lagi kanak-kanak antara golongan berisiko dijangkiti Covid-19.

Katanya, pihaknya sedia maklum kebanyakan sektor ekonomi sudah dibenarkan beroperasi bermula hari ini dan ada antara ibu bapa sudah kembali bekerja namun pihak pengurusan belum bersedia menerima anak-anak untuk hadir ke taska.

"Taska ini sendiri sudah lama tidak beroperasi dan memerlukan masa untuk melakukan proses nyah kuman dan pembersihan selain kita juga masih menunggu arahan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk prosedur terperinci mengenai tatacara penerimaan anak-anak ke taska.

"Kita juga sedia maklum kanak-kanak ini mahukan kebebasan, jadi kita bimbang mereka tidak dapat memenuhi arahan penjarakan sosial dan beberapa prosedur ketat seperti digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Jadi, kita ambil keputusan menangguhkan dahulu dan ibu bapa juga faham dengan penjelasan diberikan. Mengikut perancangan, kita akan buka semula taska selepas Aidilfitri namun ia bergantung dengan arahan kerajaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ummi Rohimah yang juga Pemangku Pengerusi Persatuan Pendidik Taska Swasta Negeri Terengganu (PPTNT) berkata, terdapat 85 orang ditempatkan di taska miliknya yang menempatkan bayi seawal umur tiga bulan hingga 10 tahun.

"Waktu operasi bermula jam 7 pagi hingga 6 petang setiap hari Ahad hingga Khamis dengan bayaran penjagaan antara RM350 hingga RM380 bergantung kepada umur anak-anak.

"Namun, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ibu bapa tidak perlu membuat bayaran penuh taska untuk April kerana saya hanya meminta setiap keluarga membayar RM50.

"Alhamdulillah, ada ibu bapa yang membayar lebih walaupun mereka tidak menghantar anak ke sini," katanya.

Menurut Ummi Rohimah lagi, sehingga kini, terdapat 126 buah taska swasta berdaftar di Terengganu iaitu 31 di Kuala Terengganu, Kuala Nerus (8), Marang (12), Besut (12), Setiu (3), Dungun (22), Hulu Terengganu (9) dan Kemaman (29).

"Bagi pihak PPTNT, kita cadangkan semua pengusaha taska menutup premis mereka namun sekiranya ingin beroperasi, kita tiada halangan cuma perlu bersedia menanggung risiko," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 8:37 PM