PENGASUH Taska Halaman Ilmu memastikan kanak-kanak menjaga jarak sosial ketika waktu makan. FOTO Murnaena Muhammad Nasir
PENGASUH Taska Halaman Ilmu memastikan kanak-kanak menjaga jarak sosial ketika waktu makan. FOTO Murnaena Muhammad Nasir
Murnaena Muhammad Nasir


KEBENARAN pembukaan semula taman asuhan kanak-kanak (taska) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disambut baik pengusaha taska selepas lebih dua bulan tidak beroperasi.

Tinjauan wartawan Harian Metro di dua pusat taska sekitar Bandar Tun Hussein Onn, Kajang, Selangor tadi, mendapati pengasuh mematuhi prosedur operasi standard (SOP) disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Wartawan melihat sendiri pengasuh yang bertugas memakai pelitup muka sepanjang aktiviti interaksi dengan kanak-kanak termasuklah semasa menyediakan makanan dan memandikan mereka.

Sama seperti di pasar raya dan premis perniagaan lain, pihak taska turut melakukan pemeriksaan suhu serta merekodkan kehadiran pekerja, penjaga, ibu bapa dan anak sebelum mereka dibenarkan memasuki pusat jagaan.

Selain itu, wartawan mendapati pusat taska menyediakan cecair sanitasi tangan di pintu masuk dan laluan bilik bagi kegunaan pekerja sebelum bersentuhan dengan kanak-kanak asuhan.

Pelekat jarak satu meter di lantai turut ditanda terutamanya di ruang makan, ruang menonton televisyen dan ruang tidur bagi menjamin penjarakan sosial kanak-kanak.

Bagi pengusaha Taska Halaman Ilmu, Fatiha Annas, 33, SOP seperti langkah pembersihan dan sanitasi mudah dilaksanakan namun agak rumit menjaga jarak sosial kanak-kanak.

"Kami perlu didik mereka untuk mengetahui apa itu jarak sosial supaya mereka mengerti dan tidak duduk terlalu rapat dengan rakan yang lain.

"Selepas ini, mungkin kami akan hias pelekat label jarak satu meter di lantai supaya mereka tertarik untuk duduk di situ," katanya.

Sementara itu, pengusaha Taska Anjung Kasih, Nurhidayah Mudali, 42, berkata, amalan pencegahan penularan Covid-19 seharusnya dipikul bersama dengan ibu bapa dan bukannya terletak di bawah tanggungjawab pihak taska semata-mata.

"Hanya kanak-kanak yang sudah mengisi borang akuan kesihatan sahaja yang dibenarkan dihantar ke taska. Pengurusan taska tidak akan menerima kanak-kanak yang mempunyai simptom demam, batuk dan selsema.

"Borang berkenaan juga mempunyai maklumat kesihatan adik-beradik dan ahli keluarga lain yang perlu diisi ibu bapa atau penjaga secara jujur," katanya.

Mengulas mengenai jumlah maksimum kanak-kanak asuhan pusat taskanya, Nurhidayah berkata, hanya 20 orang dibenarkan dalam satu hari.

"Buat masa ini, hanya 10 kanak-kanak yang dihantar di taska sejak 1 Jun lalu memandangkan ramai ibu bapa yang masih lagi bekerja dari rumah.

"Namun ada juga ibu bapa yang menghantar anak mereka walaupun masih lagi status bekerja dari rumah kerana agak rumit untuk mereka fokus terutama semasa mengadakan mesyuarat dalam talian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 4:55 PM