Mohd Roji Kawi


LEBIH separuh daripada 236 taman asuhan kanak-kanak (TASKA) berdaftar di Sarawak, beroperasi semula hari ini selepas hampir tiga bulan ditutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, walaupun belum menerima angka yang tepat, beliau difahamkan sebahagian besar TASKA mengikut arahan kerajaan negeri yang membenarkan mereka beroperasi semula secara rasmi, hari ini.

Beliau berkata, sebahagian lagi akan beroperasi pada 15 Jun ini disebabkan beberapa faktor tertentu.

"Antaranya, mereka memutuskan untuk beroperasi mulai Isnin depan ialah bagi memudahkan mereka mengira yuran.

"Bagi TASKA yang sudah beroperasi hari ini, saya juga difahamkan ada ibu bapa yang masih belum bersedia menghantar anak mereka ke pusat jagaan dan ia terpulang kepada mereka untuk menentukannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke TASKA Cahaya Horizons di sini, hari ini.

Lawatan itu bagi memastikan TASKA mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

DATUK Seri Fatimah Abdullah, melawat Taska Cahaya Horizon, di Jalan BDC, Kuching, pada hari pertama Taska dibenarkan beroperasi dalam hari terakhir Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Covid-19. Nadim Bokhari
DATUK Seri Fatimah Abdullah, melawat Taska Cahaya Horizon, di Jalan BDC, Kuching, pada hari pertama Taska dibenarkan beroperasi dalam hari terakhir Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Covid-19. Nadim Bokhari

"Berdasarkan pemerhatian saya sendiri selain pemantauan yang dijalankan oleh pihak kementerian, didapati semua TASKA mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Ia termasuk penyediaan peralatan perlindungan diri untuk kanak-kanak, guru, kakitangan serta ibu bapa, pemeriksaan suhu badan, penjarakan sosial serta tiada aktiviti berkumpulan diadakan," katanya.

Sementara itu, Fatimah berkata, sebanyak 92 peratus daripada 236 TASKA di negeri ini sudah memohon untuk mendapatkan geran sebanyak RM5,000 untuk menampung kos operasi.

"Geran khas tahunan itu pada asalnya disediakan untuk membantu aktiviti pembelajaran, latihan guru serta aktivti ibu bapa.

"Bagaimanapun, apabila Covid-19 melanda, kerajaan Sarawak memberi kelonggaran kepada operator TASKA untuk menggunakan geran itu bagi membeli peralatan perlindungan diri serta alat pengesan suhu badan dan cecair pencuci tangan," katanya.

Malah katanya, geran khas itu juga boleh digunakan untuk membayar gaji guru berikutan TASKA tidak mempunyai pendapatan apabila ditutup sepanjang bulan April dan Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 3:31 PM