GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling


PERSATUAN Perunding Hartanah Muslim Malaysia (Peham) menyeru masyarakat awam agar berurusan dengan perunding hartanah yang sah demi memastikan transaksi hartanah dilakukan dengan selamat.

Timbalan Presidennya Muhazrol Muhamad berkata, selain itu pembayaran deposit pembelian dan sewaan hartanah perlu dipastikan ke Akaun Pelanggan agensi hartanah yang terbabit dan orang ramai perlu membuat semakan untuk memastikan mereka berurusan dengan ejen hartanah berdaftar.

Katanya, hanya individu yang memiliki kelayakan akademik yang diiktiraf layak menjadi ejen hartanah percubaan manakala untuk menjadi seorang perunding hartanah secara sah, seseorang itu perlu menghadiri kursus kelayakan perunding selama dua hari, dikendalikan penganjur yang diiktiraf Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Hartatanah & Pengurus Harta Malaysia (LPEPH) sebelum didaftarkan sebagai perunding hartanah oleh agensi hartanah masing-masing.

“Seorang individu yang ingin menjadi seorang ejen hartanah berdaftar perlu memiliki kelayakan akademik yang diiktiraf dan melalui ujian kompetensi profesional yang dikendalikan LPEPH sebelum ditauliahkan sebagai seorang ejen hartanah berdaftar.

“Manakala seorang ejen hartanah berdaftar pula dari segi undang-undang dibenarkan untuk menyelia dan menaungi ejen hartanah percubaan dan maksimum 50 orang perunding hartanah (REN),” katanya dalam satu kenyataan.

Muhazrol berkata, Peham menyokong usaha yang dilakukan LPEPH demi memastikan profesion ejen hartanah ini sentiasa berada di tahap integriti tertinggi dan mengharapkan tindakan diambil ke atas syarikat, perniagaan atau persatuan lain yang mengamalkan perejenan hartanah secara tidak sah demi menjamin kepentingan masyarakat.

“Pastikan perunding hartanah memakai REN Tag mereka ketika berurusan dengan anda. Senarai agensi hartanah, ejen hartanah dan perunding hartanah berdaftar boleh disemak melalui laman web www.lppeh.gov.my,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 4:18 PM