Kuala Lumpur: PropertyGuru Malaysia dan Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi kerjasama menggalakkan Ejen dan Perunding Hartanah (REN) mendaftar sebagai ejen sah.

Melalui kerjasama berkenaan, ahli REN yang berdaftar menikmati pakej penyenaraian khas selain peluang meneroka rangkaian pengunjung di laman PropertyGuru.

Ejen yang berdaftar dengan Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartatanah Malaysia (BOVAEA) diberikan pakej khas, mereka boleh menikmati 10 penyenaraian dalam tempoh 12 bulan pada harga RM80.

Pengurus Negara, PropertyGuru (Malaysia), Gerard Kho berkata, kerjasama itu juga menandakan sokongan pihaknya terhadap inisiatif berterusan MIEA untuk mendidik REN dan pengguna mengenai pelesenan dan pensijilan sebagai satu cara ke hadapan untuk melindungi integriti profesion mereka.

“Pengguna dan pembeli rumah hari ini sibuk dengan pelbagai kebimbangan dan keraguan ke atas pasaran hartanah tempatan dan kemungkinan untuk memiliki rumah impian mereka.

“Perkara terakhir yang mereka perlukan untuk risaukan REN yang berurusan dengan mereka. Kami percaya melesenkan dan memperakukan program yang dimulakan oleh MIEA ini amat penting untuk melengkapkan REN dengan sikap lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:01 AM