PENCERAMAH, Naz Abdullah Shomlee  memberikan penerangan ketika Program Sembang Santai Sesi Bongkar Rahsia Kumpulan Perunding Hartanah Melayu (MGN).
PENCERAMAH, Naz Abdullah Shomlee memberikan penerangan ketika Program Sembang Santai Sesi Bongkar Rahsia Kumpulan Perunding Hartanah Melayu (MGN).
Oleh: Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Apabila berbicara mengenai membeli dan menjual hartanah, lazimnya pemilik lebih cenderung untuk melantik ejen dan perunding hartanah bagi menguruskan perkara terbabit kerana ia lebih mudah dan menjimatkan masa berbanding melakukannya sendiri.

Bagaimanapun, untuk memilih ejen atau perunding hartanah terbaik, pemilik perlu mempertimbangkan beberapa perkara termasuk komisien, mudah berunding, berdaftar dengan pihak berkuasa dan memiliki pengalaman serta paling penting adalah ketelusan dan profesinalisme dalam menjalankan urus niaga terbabit.

Pada ketika ini, masih terdapat kes membabitkan penipuan dalam kalangan pemilik atau bakal pemilik rumah ekoran memilih ejen dan perunding hartanah yang tidak bertauliah dan mengambil kesempatan di atas perkara itu.

Untuk mengatasi masalah terbabit, inisiatif perkhidmatan rundingan hartanah berlandaskan syariat yang dilaksanakan perunding hartanah di bawah Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM) bolehlah dianggap sebagai pilihan terbaik kepada pemilik Bumiputera Muslim untuk mendapatkan hartanah idaman tanpa perlu berhadapan dengan risiko kerugian.

Presiden PEHAM, Ishak Ismail berkata, perkhidmatan itu dilihat alternatif terbaik bagi pemilik hartanah untuk melantik ejen atau perunding hartanah Muslim memandangkan ia dilaksanakan berdasarkan syariat tanpa membabitkan sebarang unsur haram atau melanggar syariat Islam.

“Sebelum ini, transaksi membabitkan urus niaga jual beli rumah ini dilihat memiliki unsur gharal atau tidak jelas dalam beberapa aspek dan PEHAM akan memainkan peranan untuk memastikan perkara itu dapat diatasi serta mengelakkan elemen bertentangan dengan syariat Islam,” katanya.

Beliau berkata, ejen dan perunding hartanah Muslim ini bukan sahaja melaksanakan urus niaga tanpa membabitkan elemen seperti riba, malah mereka perlu memastikan nilai dan etika yang dipegang sesuai dengan kehendak syarak seperti menjual hartanah bagi tujuan halal selain memberi nasihat kepada pemilik dari aspek pembiayaan, perkhidmatan guaman, insurans dan lain-lain.

Menurutnya, mereka juga perlu bertanggungjawab terhadap pemilik rumah dalam beberapa perkara seperti memastikan pemilik menggunakan pembiayaan Islamik tanpa terma meragukan dan mengambil kira keperluan seperti rumah yang hendak dibeli berdekatan dengan masjid, sekolah agama dan lain-lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:06 AM