Kuala Lumpur: Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan pemasaran produk hartanah online memandangkan ketika ini terdapat banyak ejen hartanah palsu yang boleh merugikan industri serta mengancam keselamatan pembeli.

Ini kerana menerusi statistik Lembaga Penilaian, Pentafsir dan Ejen Hartanah Malaysia (BOVAEA) tahun lalu, ejen hartanah di Malaysia mencatatkan RM100 bilion transaksi penjualan pelbagai jenis produk hartanah dan dijangkakan antara 30 dan 40 peratus daripadanya dikaut ejen tidak berdaftar.

Presidennya, Siva Shanker berkata, orang ramai perlu peka kepada kewujudan ejen hartanah tidak berdaftar dalam pelbagai bentuk pemasaran dilakukan golongan itu sama ada menerusi platform online ataupun tradisional.

Katanya, setiap ejen hartanah yang berdaftar atau perunding hartanah (REN) mempunyai nombor pendaftaran yang boleh disemak kepada MIEA atau BOVAEA bagi mengenalpasti kesahihan mereka sebagai ahli dalam entiti yang sah.

“Ketika ini banyak ejen tidak berdaftar mengaburi mata orang ramai dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan dan mengakui mereka mempunyai kepakaran dalam bidang itu.

“Malah, ada antaranya yang mengaut keuntungan tinggi ketika proses penjualan itu berlangsung serta menyalahi undang-undang sebagai seorang REN atau ejen dan pembeli kadangkala tidak menyedari perkara ini berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 5:02 AM