Kuala Lumpur: Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan Malaysia (HBA) menasihati masyarakat tidak tergesa-gesa menerima tawaran pembelian rumah murah tanpa menyiasat kebenarannya.

Setiausaha Agung HBA Chang Kim Loong berkata, pembeli harus memastikan mereka berurusan dengan ejen berdaftar dengan Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah Malaysia (LPPEH).

Menurutnya, pihak HBA kerap menerima laporan ramai mangsa ditipu penjenayah yang menyamar ejen hartanah.

“Orang ramai boleh memeriksa status ejen hartanah, perunding hartanah atau syarikat pembinaan perumahan diwakili melalui perkhidmatan atas talian dan e-mel dikendalikan pihak LPPEH.

“Sekiranya ditipu, pembeli boleh membuat melaporkannya kepada polis. Mangsa juga perlu membuat laporan kepada LPPEH supaya mereka boleh mengambil tindakan,” katanya, semalam.

Chang berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan wang deposit dilarikan pihak tidak bertanggungjawab dan dapat mengesahkan transaksi sewa, jual serta beli daripada aspek perundangan.

“Orang ramai yang ingin mendapatkan rumah kos rendah turut dinasihatkan merujuk kepada kerajaan negeri masing-masing sama ada kerajaan pusat atau kerajaan negeri dan bukannya kepada ejen perumahan tidak berdaftar.

“Sebarang pembayaran haruslah disertai dengan resit rasmi syarikat ejen hartanah terbabit,” katanya.

Harian Metro Selasa lalu mendedahkan kejadian 18 mangsa ditipu seorang ejen hartanah palsu yang menawarkan rumah pangsapuri pada harga serendah RM38,000 seunit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:14 AM