Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Industri ejen hartanah dijangka mampu mencatatkan prestasi positif pada tahun depan meskipun situasi pasaran hartanah semasa yang terus perlahan kerana terdapat jangkaan peningkatan jumlah jualan hartanah daripada pemilik ekoran ekonomi tidak menentu pada masa ini.

Presiden Persatuan Perunding dan Ejen Hartanah Muslim Malaysia (Peham), Ishak Ismail berkata, perkembangan itu memudahkan ejen hartanah dalam urusan jualan rumah namun mereka perlu agresif mencari pembeli rumah dengan cara melengkapi diri masing-masing dengan ilmu pengetahuan.

“Langkah ini penting kerana ejen hartanah pada masa kini perlu lebih bijak mencari pembeli yang memiliki kemudahan tunai kukuh dan melihat potensi pembelian hartanah pada masa sukar ini serta membantu dalam mencari pembiayaan sesuai berdasarkan kepada objektif dan keupayaan pembeli,” katanya pada Bisnes Metro di sini, semalam.

Beliau berkata, semua pihak terbabit dalam industri hartanah termasuk ejen hartanah berharap insentif skim pembayaran akhir khas untuk program Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) membabitkan kerjasama empat bank dan beberapa insentif lain dalam pengumuman Bajet 2017 membantu dalam meningkatkan lagi jumlah pemilikan rumah pada tahun depan.

Menurutnya, cabaran ejen hartanah pada 2017 bukan berkisar kepada rumah dijual, namun lebih kepada kesukaran dalam kalangan pembeli mendapatkan pinjaman akhir berikutan kadar penolakan pinjaman tinggi iaitu mencecah sehingga 60 peratus.

“Kami harap kerajaan memberi lebih perhatian kepada isu pembiayaan akhir ini kerana dijangka terdapat peningkatan bilangan rumah dijual baik daripada pasaran utama ataupun kedua dan lelong,” katanya.

Ishak berkata, pihaknya optimis dengan industri ejen hartanah pada tahun depan kerana perkhidmatan ejen hartanah dijangka terus ditagih berikutan kemunculan pelbagai projek rumah mampu milik dan penawaran pakej rebat daripada pemaju.

Menurutnya, penyertaan ejen hartanah baru ketika ini dilihat bakal menyemarakkan industri ejen hartanah kerana kebanyakan mereka terdiri daripada individu dalam sektor ekonomi terjejas seperti minyak dan gas yang ternyata memiliki pengalaman menjalankan urus niaga.

“Apa paling penting pembeli hanya mencari ejen yang proaktif kerana mereka kini teliti dalam memilih ejen hartanah masing-masing. Oleh itu, saya menyeru supaya ejen hartanah di negara ini terus mencari ilmu dan meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi memastikan mereka mampu mencari pembeli berkualiti,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyarankan kerajaan melihat kemungkinan untuk meningkatkan lagi peratusan komisyen untuk ejen hartanah kerana skop kerja mereka yang kian meluas.

“Perkara ini perlu memandangkan ejen hartanah kini menguruskan segala perkara bermula sebelum dan selepas pembelian rumah dan ia wajar kerana tiga peratus itu peratusan terendah berbanding negara maju lain seperti United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia yang berada pada tahap lapan hingga 10 peratus.

Dalam masa sama, Ishak turut menyarankan supaya penjual dan pembeli rumah tidak menggunakan perkhidmatan ejen hartanah yang tidak berdaftar terutama dalam keadaan industri hartanah yang berhadapan dengan pelbagai cabaran.

“Pada masa ini, Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah Malaysia (LPPEH) tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa pihak terbabit dan saya menyeru pihak kerajaan melihat kepada perkara ini kerana pada masa ini pihak Lembaga hanya boleh melaporkan kejadian kepada polis tanpa keupayaan melakukan pendakwaan.

“Saya berharap jika terdapat pindaan akta maka ia mampu mengawal pihak yang tidak bertanggungjawab ini, sekali gus memudahkan lagi urus niaga ejen hartanah pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 5:48 AM