HISHAMUDDIN pada sidang media selepas sesi taklimat oleh Jabatan Protokol dan Konsular Kementerian Luar di Wisma Putra, Putrajaya. FOTO BERNAMA
HISHAMUDDIN pada sidang media selepas sesi taklimat oleh Jabatan Protokol dan Konsular Kementerian Luar di Wisma Putra, Putrajaya. FOTO BERNAMA
Rafidah Mat Ruzki

WISMA Putra mengenalpasti 11 rakyat Malaysia di luar negara dijangkiti Covid-19 sejak penularan wabak berkenaan.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hisammuddin Hussein berkata, daripada jumlah itu, sembilan daripadanya berada di Singapura manakala dua lagi di Jepun.

Beliau berkata, dua daripada rakyat Malaysia berada di Singapura itu sudah dibenarkan keluar hospital, tujuh lagi masih dirawat manakala dua rakyat Malaysia di Jepun sudah pulang ke negara ini.

Bagaimanapun, katanya, jumlah berkenaan akan disahkan dengan kementerian lain supaya tidak berlaku percanggahan dengan apa yang diumumkan.

“Apa yang kita umum adalah maklumat kita ada di Wisma Putra. Sementara itu, demi memastikan rakyat kita di luar negara dipantau rapi, saya ingin memaklumkan bahawa Wisma Putra melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia sentiasa mengemaskini rekod rakyat Malaysia di negara terjejas.

“Tolong daftar dengan kedutaan supaya senang untuk kita pantau. Jangan tunggu sampai keadaan terdesak baru nak minta pertolongan. Penting untuk mereka bertanggungjawab memastikan nama mereka berada di kedutaan dan misi kita,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, timbalannya, Datuk Kamarudin Jaafar.

Hishammuddin berkata, sehingga semalam seramai 14,929 rakyat Malaysia di China terjejas teruk akibat Covid-19.

Beliau berkata, selain di China, rakyat Malaysia di sembilan lagi negara yang turut terjejas adalah di Amerika Syarikat (23,179); Jepun (6,019); Korea Selatan (4,297); Perancis (2,401); Jerman (2,218); Switzerland (790); Itali (380) dan Sepanyol (150).

Bagi memantau perkembangan terkini rakyat Malaysia di luar negara, Hishammuddin berkata, beliau sudah mengarahkan timbalannya mengetuai satu pasukan khas.

“Pasukan khas ini penting dan Wisma Putra bersetuju untuk memperhebatkan lagi jabatan yang akan dipimpin oleh timbalan saya,” katanya.

Selain itu, Hishammuddin berkata, beliau akan menghadiri mesyuarat dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin jam 3 petang ini bagi memberi taklimat berkaitan isu berkenaan.

“Apa yang saya maklumkan dan bincangkan, akan dibentangkan pada PM hari ni, supaya dalam kita nak menangani virus ini, kita perlu pastikan koordinasi.

“Ia membabitkan koordinasi antara menteri dan kementerian terlibat. Keduanya, koordinasi untuk cari jalan terbaik dalam kalangan negara di luar sana.

“Ini saya dah mula dengan panggilan menteri luar negara berkenaan, dan kalau dapat koordinasi dengan Wisma Putra, kalau boleh kongsi langkah terbaik saya rasa kita akan ada peluang terbaik melawan virus ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2020 @ 3:51 PM