HISHAMMUDDIN. FOTO arkib NSTP
HISHAMMUDDIN. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


KERAJAAN sedang melakukan persiapan membawa pulang 323 rakyat Malaysia di Itali dan 65 di Iran susulan penularan wabak Covid-19.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perwakilan Malaysia di dua negara itu akan membantu melancarkan proses berkenaan.

“Persiapan rapi sedang dilaksanakan termasuk mengenal pasti kedudukan semua rakyat Malaysia di sana dan memastikan mereka mendaftarkan diri dengan perwakilan.

“Ia amat penting bagi memudahkan mereka mendapat maklumat yang tepat dan terkini berhubung misi bawa pulang itu,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Hishammuddin berkata, keputusan membawa pulang rakyat Malaysia dibuat selepas mengambil kira maklumat Wisma Putra berhubung situasi semasa di Itali dan Iran.

Beliau menyeru rakyat Malaysia yang berada di Itali, Iran dan semua negara yang terjejas akibat Covid-19 supaya kekal tenang serta bersabar.

“Insya-Allah, kerajaan termasuk Wisma Putra akan bantu yang terbaik. Apa yang penting, pastikan berhubung dengan perwakilan dari semasa ke semasa,” katanya.

Katanya, beliau meminta semua rakyat Malaysia mendoakan supaya misi membawa pulang itu berjalan lancar.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 3:20 PM