Amir Abd Hamid

PAS menyeru kerajaan supaya memperkukuhkan perpaduan rakyat.

Itu antara ketetapan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pusat Pas Pusat, di Kuala Lumpur, semalam, selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Muhyiddin jelas sudah dapat memecahkan keraguan yang timbul terhadap pencalonannya dan Pas mendukung sepenuhnya kepemimpinan Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai Perdana Menteri.

“Pas mengharapkan Kerajaan Persekutuan mengutamakan agenda memulihkan ekonomi, merapatkan jurang kaya miskin dan meningkatkan tahap pendidikan.

ABDUL Hadi Awang pada sidang media keputusan mesyuarat khas AJK PAS pusat mengenai perkembangan politik semasa di Pejabat PAS, Kuala Lumpur. FOTO Rohanis Shukri
ABDUL Hadi Awang pada sidang media keputusan mesyuarat khas AJK PAS pusat mengenai perkembangan politik semasa di Pejabat PAS, Kuala Lumpur. FOTO Rohanis Shukri

“Selain itu, pembangunan seimbang di Semenanjung, Sabah dan Sarawak seterusnya menjaga prinsip federisma di negeri-negeri.

“Pas menyeru seluruh rakyat Malaysia menjaga keharmonian dan perpaduan kaum di kalangan masyarakat majmuk selain menyarankan kerajaan berlaku adil dan berkebajikan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di Pejabat Agung Pas Pusat di Jalan Raja Laut, hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ditanya mengenai kenyataan Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin kelmarin bahawa parti itu sanggup menerima kembali ahli Parti Amanah Negara, Hadi berkata, belum wujud gerakan berkenaan.

Sidang media semalam adalah yang pertama sejak 1974 membabitkan Pas dalam gabungan kerajaan Persekutuan.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 6:34 PM