SULTAN Sharafuddin. FOTO Arkib NSTP
SULTAN Sharafuddin. FOTO Arkib NSTP
Norzamira Che Noh


SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan agar pentadbiran kerajaan negeri berfungsi dan berjalan seperti biasa.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, baginda Sultan Selangor juga berpuas hati dengan penjelasan bahawa kerajaan sedia ada ingin meneruskan komitmen bagi merealisasikan mandat rakyat Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, 2018 yang lalu.

“Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan kepada saya selaku Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor, Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo dan Pengerusi AMANAH Selangor, Izham Hashim untuk datang menghadap di Istana Bukit Kayangan Shah Alam pagi ini.

“Dalam pertemuan itu, baginda Sultan Selangor berpuas hati dengan penjelasan bahawa kerajaan sedia ada ingin meneruskan komitmen bagi merealisasikan mandat rakyat Selangor, malah baginda turut memberi perkenan agar pentadbiran kerajaan negeri berfungsi dan berjalan seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Amirudin berkata, beliau sudah bermesyuarat dengan pengerusi parti komponen kerajaan, termasuk Datuk Abdul Rashid Asari selaku Ketua Badan Pimpinan BERSATU Selangor bagi membincangkan hala tuju Selangor.

Justeru, katanya, pentadbiran itu berikrar untuk kekal menghormati mandat rakyat bagi melaksanakan agenda yang bermanfaat untuk negeri dan rakyat Selangor seluruhnya.

Terdahulu, Amirudin tiba di Istana Bukit Kayangan pada jam 8.50 pagi diikuti dua pemimpin parti komponen berkenaan.

Ketiga-tiga pemimpin berkenaan menghabiskan masa kira-kira dua jam sebelum beredar sekitar jam 11 pagi.

Selangor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada ketika ini, komposisinya adalah 21 kerusi dikuasai PKR, DAP (16), Amanah (8), Bersatu (5), Barisan Nasional (5) dan PAS (1).

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 12:43 PM