DILIHAT beberapa kenderaan pengerusi parti tiba di kediaman Sultan Selangor. FOTO NSTP
DILIHAT beberapa kenderaan pengerusi parti tiba di kediaman Sultan Selangor. FOTO NSTP
Norzamira Che Noh


PENGERUSI Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hadir ke Istana Kayangan pagi ini untuk menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor tiba jam 8.50 pagi dengan kenderaan rasmi Menteri Besar diikuti Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor, Izham Hashim dan Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo.

Kehadiran ketiga-tiga pemimpin berkenaan

dipercayai untuk berbincang dengan baginda Sultan Selangor mengenai situasi politik semasa negara yang turut membabitkan negeri berkenaan.

Menteri Besar keluar dari istana kira-kira 2 jam kemudian iaitu pada jam 11 manakala dua lagi pemimpin keluar lebih awal.

Amirudin ketika dihampiri bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan hanya melambai ke arah pihak media yang hadir.

Sementara itu, Izham yang keluar kira-kira setengah jam lebih awal memaklumkan Menteri Besar akan mengeluarkan kenyataan mengenai pertemuan berkenaan.

Ketika ditanya mengenai perbincangan berkenaan, beliau hanya memaklumkan Selangor stabil dan ‘steady’ sahaja sebelum beredar.

Selangor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada ketika ini, komposisinya adalah 21 kerusi dikuasai PKR, DAP (16), Amanah (8), Bersatu (5), Barisan Nasional (5) dan PAS (1).

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 11:45 AM