GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zuhainy Zulkiffli


DUA lelaki yang dipercayai membelasah penjaga parkir warga Bangladesh dengan topi keledar sebelum menyamunnya di Lorong Abu Siti, Georgetown berjaya ditahan polis, Isnin lalu.

Dalam kejadian pada Jumaat lalu, mangsa berusia 54 tahun dipercayai dipukul di kepala oleh suspek sebelum mereka melarikan beg silangnya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, siasatan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjaya mengesan nombor pendaftaran motosikal dinaiki suspek sebelum mereka berjaya ditahan.

Menurutnya, semakan mendapati kedua-dua suspek berusia 33 dan 44 tahun itu mempunyai rekod jenayah serta dadah lampau, namun saringan ujian air kencing didapati negatif dadah.

“Polis merampas topi keledar yang digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu bersama kad pengenalan (PR) dan lesen memandu milik mangsa.

“Kedua-dua suspek terbabit direman tujuh hari sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian itu, anggota Balai Polis Jalan Patani yang membuat rondaan dimaklumkan oleh orang awam mengenai penemuan mangsa yang cedera parah di kawasan parkir terbabit.

Mangsa yang berstatus pemastautin tetap berada dalam keadaan tidak sedarkan diri lalu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

Setakat ini, mangsa sehingga kini masih tidak sedarkan diri dan sudah menjalani dua pembedahan di kepala.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 9:35 PM