SURINDER maut dipukul teman lelaki. FOTO ihsan polis
SURINDER maut dipukul teman lelaki. FOTO ihsan polis
Hadzlihady Hassan


ANGKARA mabuk, seorang lelaki hilang pertimbangan dan membelasah teman wanitanya hingga maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini.

Mangsa, Surinder Kaur Bedi, 37, dipukul teman lelakinya yang berusia 55 tahun menggunakan topi keledar di Persiaran Bayan Indah, Georgetown, jam 11.50 malam Sabtu lalu.

Difahamkan, ketika kejadian mereka dikatakan mabuk sebelum berlaku pertengkaran.

Mereka sudah mengenali antara satu sama lain sejak 15 tahun lalu namun baru menjalinkan hubungan cinta sejak empat bulan lalu.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa tidak berpuas hati kerana mendakwa teman lelakinya itu curang dan ada wanita lain selain dia.

Tindakan wanita itu menimbulkan kemarahan kepada teman lelakinya yang kemudian naik angin dan memukul mangsa bertubi-tubi menggunakan topi keledar.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, polis yang menerima laporan daripada orang awam bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, anggota polis mendapati mangsa berada dalam keadaan kritikal dan dibawa ke HPP menggunakan ambulans.

“Mangsa yang tidak sedarkan diri dibawa ke bahagian kecemasan HPP dan doktor memberitahu dia parah di kepala.

“Doktor juga memberitahu peluang mangsa untuk hidup 50-50 ketika itu dan wanita terbabit disahkan meninggal dunia jam 5 pagi, hari ini,” katanya ketika dihubungi.

Che Zaimani berkata, suspek ditahan di lokasi kejadian dan dia direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Suspek mempunyai tujuh rekod lampau kerana kesalahan dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 6:39 PM