Ruwaida Md Zain


SELUDUP masuk lebih 200 keping kulit ular sawa ke negara ini menggunakan `bot teksi’.

Bagaimanapun taktik itu berjaya dibongkar anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, yang menahan sebuah bot pada kedudukan 0.3 batu nautika utara Sungai Chondong Besar di Pelabuhan Klang, jam 11.45 pagi semalam.

Pengarah APMM Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, bot `barter trade’ berasal dari Tanjung Balai Asahan, Indonesia itu didakwa digunakan bagi tujuan penghantaran barang makanan kering.

Menurutnya, tindakan menahan bot itu dilakukan hasil maklumat risikan sebelum bot itu dibawa ke jeti APMM pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan awal mendapati bot itu membawa muatan tanpa dokumen pengisytiharan kastam. "Pemeriksaan lanjut menemui 12 bungkusan berisi kulit ular sawa sudah dikeringkan. Setiap bungkusan mengandungi sekurang-kurangnya 20 kulit ular sawa,” katanya.

MOHAMMAD Rosli (tengah) menunjukkan kulit ular sawa yang dirampas. FOTO ihsan APMM
MOHAMMAD Rosli (tengah) menunjukkan kulit ular sawa yang dirampas. FOTO ihsan APMM

Menurutnya, pihak APMM turut menemui 18 bungkusan kulit biawak, 20 guni minuman tenaga, tujuh guni ubat dan 30 guni kulit kayu manis.

“Nilai rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM479,740," katanya.

Mohammad Rosli berkata, siasatan mendapati pihak terbabit cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan meletakkan barang larangan itu di tempat tersorok di dalam bot.

Beliau berkata, ketika siasatan dijalankan hanya terdapat seorang lelaki di bot itu.

“Kami masih memburu beberapa kru bot warga Indonesia yang disyaki masih berada di kawasan berhampiran.

"Suspek ditahan mengikut Akta Kastam 1967 serta Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Terancam 2008 kerana menyeludup trofi spesis berjadual tanpa permit,” katanya.

Menurutnya, APMM sentiasa memperketatkan kawalan kemasukan barangan terlarang ke negara ini dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 6:01 PM