MUHAIMIN Muhammad Salleh menunjukkan sebuah bot nelayan dirampas yang membawa 38 bungkusan teh cina berisi dadah jenis syabu. FOTO Faiz Anuar
MUHAIMIN Muhammad Salleh menunjukkan sebuah bot nelayan dirampas yang membawa 38 bungkusan teh cina berisi dadah jenis syabu. FOTO Faiz Anuar
Norzamira Che Noh


Klang: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas dadah disyaki syabu berjumlah 40.37 kilogram dianggarkan bernilai RM1.32 juta menerusi pemeriksaan terhadap sebuah bot di jeti nelayan Sekinchan, kelmarin.

Difahamkan, rampasan dadah berkenaan adalah yang terbesar bagi agensi berkenaan sejak 2021.

Pengarah APMM Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pemeriksaan dilakukan susulan risikan dan intipan terhadap aktiviti penyeludupan dadah di perairan negeri ini.

"Semasa pemeriksaan dilakukan, tiga lelaki terjun ke dalam air dan meloloskan diri, manakala seorang lelaki warga Indonesia berusia 44 tahun berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan dua guni dalam petak simpanan bahan mentah masakan atas bot tersebut.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua guni itu berisi 38 bungkusan teh cina disyaki dadah jenis syabu seberat 40.37 kg dianggarkan bernilai RM1.32 juta," katanya pada sidang media Ibu Pejabat APMM, di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek yang ditahan berada dalam keadaan khayal dipercayai di bawah pengaruh dadah selain gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Imigresen 1959/1963.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 1:18 PM