Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Batu Pahat mematahkan cubaan menyeludup syabu bernilai RM2 juta di Jeti Nelayan Parit Jawa Muar, dekat sini, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, sekitar jam 7 malam, pihaknya berjaya merampas dadah seberat 40 kilogram (kg) dibungkus dalam plastik lut sinar selepas menahan sebuah bot bersama dua warga tempatan.

"APMM mengesan sebuah bot nelayan mencurigakan sedang menyelusuri masuk ke Jeti Nelayan Parit Jawa. Pasukan serbuan kemudian menahan bot berkenaan bersama dua suspek warga tempatan berusia 45 dan 48 tahun.

"Penggeledahan ke atas bot menemukan satu karung guni putih disembunyikan di bawah alat kemudi bot berkenaan.

NURUL Hizam Zakaria (tengah) ketika menunjukkan dadah yang dirampas bernilai RM2 juta di Jeti Nelayan Parit Jawa Muar. FOTO Essa Abu Yamin
NURUL Hizam Zakaria (tengah) ketika menunjukkan dadah yang dirampas bernilai RM2 juta di Jeti Nelayan Parit Jawa Muar. FOTO Essa Abu Yamin

"Pemeriksaan ke atas guni terbabit membawa kepada penemuan sejumlah 30 bungkusan mampat berisi hablur putih disyaki syabu dengan berat anggaran lebih kurang satu kilogram bagi setiap bungkusan," katanya ketika sidang media di Bilik Mesyuarat Zon Maritim Batu Pahat, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal, kedua-dua suspek mengaku dadah berkenaan dalam proses transit untuk dipindahkan ke bot nelayan lain di perairan Parit Jawa sebelum diseludup ke negara jiran.

"Sindiket berkenaan baru sahaja melakukan aktiviti penyeludupan dadah dan melakukan taktik membungkus dadah hanya menggunakan plastik lut sinar.

"Keseluruhan barang yang dirampas membabitkan 40 kilogram jenis syabu, bot nelayan, satu unit enjin model Yanmar 24 kuasa kuda, telefon bimbit dan wang tunai RM1706 menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih RM2,032,706.

"Kesemua barang rampasan dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Disember 2021 @ 6:02 PM