Hazira Ahmad Zaidi


LEMBAGA Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) merampas 2,212 kilogram (kg) tembakau awet dan dua van dengan jumlah keseluruhan dianggarkan RM110,000.

Ketua Pengarahnya Samsudin Noor berkata, kesemua tembakau dalam 151 bungkusan plastik dirampas di Alor Pasir, Tanah Merah pada 1.30 pagi Selasa lalu.

Menurutnya, tembakau yang dirampas adalah Tembakau Awetan Matahari dan Tembakau Awetan Pemanas bernilai RM60,000 selain dua van bernilai RM50,000.

Katanya, rampasan itu dibuat dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) atas maklumat awam.

“Dalam serbuan itu, kita mengekori van yang dipandu oleh dua lelaki dipercayai dalam perjalanan ke lokasi penyimpanan tembakau yang diseludup masuk dari negara jiran.

“Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat kerana kedua-dua pemandu van berjaya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di pejabat LKTN, Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini..

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 52 (1) Akta LKTN 2009 (Akta 692), jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

“Tembakau seludup itu bukan dihantar kepada syarikat yang berdaftar, sebaliknya ia dilihat untuk kegunaan mereka yang terbabit dalam industri tembakau lain.

“Kami akan memperkasa penguat kuasaan dengan mempertingkatkan operasi menerusi rondaan dan pemeriksaan berkala serta menjalankan kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa lain,” katanya.

Keterangan gambar

Samsudin (dua kiri) memeriksa tembakau yang dirampas. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 2:50 PM
SAMSUDIN (dua dari kiri) memeriksa tembakau yang dirampas. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
SAMSUDIN (dua dari kiri) memeriksa tembakau yang dirampas. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI