LKTN merampas 21,000 kilogram (kg) daun tembakau jenis virginia membabitkan nilai sebanyak RM650,000. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
LKTN merampas 21,000 kilogram (kg) daun tembakau jenis virginia membabitkan nilai sebanyak RM650,000. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Seludup secara besar - besaran daun tembakau berkualiti tinggi dari negara jiran untuk kegunaan pasaran tempatan.

Kegiatan itu bagaimanapun berjaya dibongkar Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) susulan serbuan di sebuah stor di Lorong Pengkalan, Ipoh, Perak, 3 Januari lalu.

Hasilnya, sebanyak 21 tan daun tembakau jenis virginia membabitkan nilai sebanyak RM650,000 berjaya dirampas.

Rampasan terbesar itu dilakukan hasil operasi bersepadu LKTN dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Zailani Hashim, berkata rampasan dilakukan hasil intipan selama tiga minggu.

"Berdasarkan siasatan, modus operandi dilakukan suspek adalah menyeludup masuk bahan terlarang itu dari negara jiran sebelum daun tembakau itu disimpan di dalam stor untuk tempoh tertentu.

"Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan dan kita sudah mengambil keterangan daripada pemilik stor berkenaan untuk siasatan lanjut.

"Daun tembakau jenis virginia adalah antara daun tembakau yang mempunyai kualiti tinggi selain paling mahal dan boleh menghasilkan rokok yang berkualiti. Lebih lama tembakau itu disimpan, maka lebih berkualiti rokok itu dihasilkan," katanya pada sidang media di pejabat LKTN di sini, tadi.

Turut hadir, Ketua Pengarah LKTN, Wan Baharuddin Wan Ismail.

Mengulas lanjut katanya, rampasan berkenaan adalah yang terbesar dalam tempoh tiga tahun ini.

Katanya, rampasan dilakukan mengikut Seksyen 51(1) Akta LKTN 2009 (Akta 692) iaitu tiada seorang pun boleh menyimpan atau memiliki dalam miliknya tembakau diawet melainkan jika mendapat kebenaran bertulis daripada lembaga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 1:21 PM