GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) mensasarkan penanaman 10,000 hektar tanaman itu di seluruh negara pada tahun hadapan.

Pengerusinya, Ab Aziz Ab Kadir berkata, bagi mencapai sasaran itu, LKTN mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan beberapa syarikat swasta.

Katanya, setakat ini, penanaman kenaf di negara ini adalah sebanyak 2,000 hektar yang membabitkan tanaman secara kecil-kecilan oleh petani termasuk di Kelantan, Perlis, Kedah dan Perak.

"Setakat ini, tanaman berkenaan mengeluarkan hasil kira-kira 10,000 tan setahun untuk diproses dan dijadikan pelbagai produk.

"Bagi memperkasakan LKTN, kita mengadakan MoU dengan sektor swasta termasuk Dallis Enterprise dalam pembuatan tilam dan Eadeco Non-Woven Sdn Bhd dalam pembangunan aplikasi produk dan pemasaran produk kenaf ke pasaran global.

"Selain itu, kita menjalin kerjasama dengan syarikat KMDI Holding Sdn Bhd bagi membangunkan ladang kluster kenaf dalam industri pembinaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Ibu Pejabat LKTN di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah LKTN Idris Mohd Salleh dan Timbalannya, Mohd Fadzhel Mohd Nasir.

Mengulas lanjut, Ab Aziz berkata, industri kenaf juga melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa melalui syarikat Kenaf Ventures Global Sdn Bhd yang menjalin kerjasama strategik dengan syarikat PT Kenaf Fiber Global (Indonesia) dalam penanaman kenaf dan pembangunan produk bersama tiga universiti dari Jerman serta United Kingdom.

"Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) juga membangunkan rantaian nilai kenaf sepenuhnya daripada peringkat penanaman sehingga pengeluaran produk.

"Bagi menjayakan perancangan dan kerjasama program ini, LKTN akan membuka pejabatnya di Perak pada 1 Jun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 3:38 PM