SAMSUDIN (tengah) melihat pelbagai produk berasaskan kenaf pada program promosi kenaf di Kota Bharu, semalam.

Sebuah kilang khusus bagi memproses kenaf dibina dengan kos dianggarkan RM15 juta dalam tempoh dua tahun lagi supaya komoditi itu terus berdaya maju.

Ketua Pengarah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Samsudin Noor berkata, LKTN menyasarkan kilang terbabit beroperasi pada 2016 dengan kawasan seluas lebih tiga hektar di Setiu Terengganu.

"Kilang ini berupaya melengkapkan pemprosesan kenaf setempat tanpa membawanya ke beberapa kilang kecil untuk diproses seperti yang dilakukan sekarang.

"Dengan pembinaan kilang itu, ia mampu memenuhi keperluan penanam kenaf di Kelantan, Terengganu dan Pahang yang dijangka semakin berkembang menjelang 2020," katanya pada sidang media di ibu pejabat LKTN, Kota Bharu, semalam.

Mengikut perancangan, sejumlah 4,000 tan metrik tanaman kenaf dapat diproses menerusi kilang itu.

Bagi mempromosi produk kenaf berkualiti tinggi, beliau turut menyarankan hotel di Malaysia menggunakan tilam dan polimer komposit (bahan binaan) daripada hasil kenaf atas faktor bahan itu yang tahan lasak selain murah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:11 AM