LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Tidak tahu jalan di Bandaraya Johor Bahru menyebabkan seorang pemandu Perodua Myvi memandu lawan arus di kilometer 2.6 Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) di sini, semalam.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku pada jam 12.30 malam itu menyebabkan berlaku kemalangan bersama empat kenderaan.

Katanya, pemandu tempatan berusia 20-an itu dari arah Johor Bahru hendak ke utara.

"Pemandu terbabit mula menyongsang arus bermula dari bulatan Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

"Hasil siasatan awal mendapati pemandu terbabit tidak tahu jalan di bandaraya ini kerana baru tiba dari Sarawak.

"Siasatan juga mendapati pemandu terbabit tidak mabuk dan bukan berada di bawah pengaruh dadah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada malam tahun baru, tindakan pemandu Perodua Myvi yang memandu lawan arus menyebabkan kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton yang dipandu lelaki warga tempatan berumur 40 tahun bersama tiga penumpang dari arah utara menghala ke pusat bandar Johor Bahru gagal mengelak Myvi terbabit.

Kereta Honda City, Toyota Vios dan Audi A3 yang datang dari arah sama juga tidak sempat mengelak serta melanggar dua kenderaan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 12:06 PM