Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas sejumlah kira-kira 10,000 pasang kasut tiruan dalam tiga serbuan serentak di tiga lokasi berbeza di negeri ini. FOTO IHSAN KPDNHEP
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas sejumlah kira-kira 10,000 pasang kasut tiruan dalam tiga serbuan serentak di tiga lokasi berbeza di negeri ini. FOTO IHSAN KPDNHEP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kira-kira 10,000 pasang kasut tiruan jenama terkenal termasuk Vans, Adidas dan Nike bernilai kira-kira RM300,000 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor dalam tiga serbuan serentak di tiga lokasi berbeza di negeri ini, Rabu lalu.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, Ops Jeriji itu dijalankan jam 11.30 pagi di Taman Desa Sijangkang, Telok Panglima Garang; Pelangi Square, Petaling Jaya dan Space U8 di sini.

"Peniaga dalam talian yang menjual kasut tiruan itu terkejut apabila premis yang dijadikan stor penyimpanan kasut terbabit diserbu.

"Serbuan turut disertai wakil pemilik cap dagang kasut berkenaan. Ia dijalankan hasil maklumat awam serta risikan selama dua minggu," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kasut terbabit turut dijual kepada peniaga pasar malam dan peniaga dalam talian lain sekitar Lembah Klang.

"Ketika serbuan, ada juga pelanggan tetap mereka yang membuat pembelian secara terus di premis terbabit.

"Kasut tiruan itu dijual pada harga RM60 hingga RM70 sepasang. Ia dibawa masuk dari China pada harga RM15 hingga RM30 sepasang," katanya.

Muhamad Zikril berkata, tiga lelaki tempatan yang juga pemilik perniagaan berusia 22 tahun hingga 46 tahun turut ditahan bagi direkodkan keterangan.

"Ketiga-tiganya menjalankan perniagaan itu sejak tiga tahun lalu dan mengakui, permintaan tinggi mendorong mereka berbuat demikian.

"Ketiga-tiganya kemudiannya dibebaskan dengan jaminan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.

Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 bagi setiap barangan atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 5:27 PM