GAMBAR hiasan. FOTO Adnan Ibrahim
GAMBAR hiasan. FOTO Adnan Ibrahim
BERNAMA

KERAJAAN negeri Johor sentiasa memantau kadar penggunaan air bagi memastikan sumber itu digunakan dengan sebaiknya sekali gus bekalan tidak terganggu.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, ia penting kerana negara ketika ini mengalami peralihan cuaca ke musim panas dan kering, sekali gus memungkinkan akan berlaku masalah bekalan air kelak.

“Sekarang ini paras air di semua 16 kawasan tadahan air dan empangan negeri memuaskan. Bagaimanapun, oleh kerana sekarang sudah masuk ke musim cuaca lebih panas dan kurang hujan, kita akan sentiasa pantau penggunaan air.

“Harap rakyat faham bahawa sumber air ini ada batasan dan terhad. Gunalah air dengan berhemah,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengundian terbuka Rumah Mampu Biaya Johor kategori C (RMB C) Taman Scientex Kulai bagi pembeli kaum India dan Cina di Kulai, hari ini.

Puah berkata, beliau akan mengeluarkan satu kenyataan atau membuat sidang media minggu depan bagi memperjelaskan lebih terperinci langkah-langkah persediaan yang akan diambil kerajaan negeri dalam menangani isu penyusutan air empangan berikutan cuaca panas.

Berdasarkan maklumat di laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan hujan monsun di beberapa negeri terutama di pantai timur Semenanjung akan berkurangan pada bulan ini dan menyebabkan cuaca lebih kering.

Johor antara negeri yang menerima taburan hujan berkurangan dengan semua kawasan menerima hujan pada paras purata antara 150 sehingga 400 milimeter.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 5:03 PM