Foto hiasan
Foto hiasan
Mary Victoria Das

TIADA keperluan catuan air dilaksanakan di negeri Johor meskipun berlaku penyusutan bekalan air di semua empangan utama.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse, berkata fokus ketika ini membabitkan bekalan air di empat empangan utama di Sungai Lebam dan Lok Heng di Kota Tinggi, Sungai Layang di Pasir Gudang serta Sembrong Barat di Kluang.

“Memang berlaku penyusutan air di semua empangan akibat cuaca panas yang berpanjangan ketika ini, namun keadaan itu belum berada pada tahap perlu dicatu.

“Bagaimanapun kerajaan negeri memberi tumpuan kepada empat empangan utama kerana faktor liputan kawasan yang luas dan rekod sejarahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Mesyuarat Keempat Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor ke-14 di Kota Iskandar, hari ini.

Jimmy Puah berkata, kerajaan negeri mempunyai beberapa perancangan jangka masa pendek bagi memastikan bekalan air mencukupi khususnya di kawasan berkepadatan tinggi.

“Bagi empangan di Sungai Lebam dan Sungai Layang, kita merancang untuk mengalirkan bekalan air dari Empangan Seluyut.

“Sementara itu bagi empangan di Lok Heng pula, tiga telaga tiub dipasang yang berkemampuan untuk mengeluarkan sebanyak satu juta liter air sehari,” katanya.

Akbar sebelum ini melaporkan, Empangan Sungai Lebam, di Bandar Penawar, Kota Tinggi mencatatkan bacaan 10.9 meter iaitu berada di bawah paras kritikal susulan keadaan cuaca panas ketika ini.

Situasi itu bagaimanapun masih belum di tahap membimbangkan dan boleh bertahan sehingga 72 hari cuaca panas berterusan.

Berita berkaitan:

  • Empangan Sungai Lebam boleh bertahan 72 hari sahaja
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 4:17 PM