Paras air yang merosot susulan cuaca panas di Empangan Sungai Lebam di Bandar Penawar, Kota Tinggi. FOTO Hairul Anuar Rahim
Paras air yang merosot susulan cuaca panas di Empangan Sungai Lebam di Bandar Penawar, Kota Tinggi. FOTO Hairul Anuar Rahim
Nurul Amanina Suhaini

Empangan Sungai Lebam, di Bandar Penawar, Kota Tinggi mencatatkan bacaan 10.9 meter iaitu berada di bawah paras kritikal susulan keadaan cuaca panas ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, situasi itu bagaimanapun masih belum di tahap membimbangkan dan boleh bertahan sehingga 72 hari cuaca panas berterusan.

“Paras normal empangan Sungai Lebam ialah 14 meter dan paras kritikal ialah 12.72 meter. Cuaca sangat panas dan kering di Johor sekarang amat merisaukan.

“Sekiranya tiada hujan kita perlu ada pendekatan kecemasan menerusi pemindahan air yang dipam dari Sungai Seluyut, itu langkah jangka pendek bagi mengelakkan catuan di kawasan sekitar.

“Sekiranya ada isu dengan Sungai Lebam, ia akan menjejaskan hampir 100,000 rakyat di kawasan Kota Tinggi dan Pengerang termasuk gugusan FELDA,” katanya kepada pemberita ketika melawat Empangan Sungai Lebam hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Pengeluaran dan Agihan SAJ Ranhill Sdn Bhd, Anuar Abdul Ghani.

Jimmy Puah berkata, jumlah hujan di Empangan Sungai Lebam pada Januari lalu mencatatkan bacaan 110 milimeter, berbanding 475 milimeter pada tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, pada Februari lalu, jumlah hujan mencatatkan 60 milimeter, berbanding 100 milimeter yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.

“Kerajaan negeri dan SAJ Ranhill serta Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) akan memantau keadaan semasa paras air empangan di negeri ini.

“Kita sarankan rakyat Johor supaya menggunakan air secara berhemah bagi berdepan sebarang kemungkinan,” katanya.

From: Sab

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 5:52 PM