GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Faliq Lajim

LELAKI maut ditikam sahabatnya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) di Jalan Pandamaran, Klang, 6.18 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan daripada doktor Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pada 6.18 petang yang melaporkan kejadian itu.

“Doktor berkenaan memaklumkan ada menerima pesakit iaitu mangsa dalam keadaan tidak sedar diri akibat kesan luka di dada kanan, disyaki ditikam dengan senjata tajam.

“Mangsa juga dipercayai sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan.

Shamsul Amar berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 55 tahun datang ke rumah suspek kira-kira 6 petang tadi.

“Namun, tidak lama kemudian, seorang wanita yang tinggal berdekatan rumah suspek ternampak mangsa keluar dari rumah berkenaan dalam keadaan berdarah.

“Mangsa kemudian rebah dan wanita terbabit meminta tolong orang awam yang lalu lalang di situ untuk menghantar mangsa ke hospital dengan menaiki sebuah kereta,” katanya.

Beliau berkata, bedah siasat akan dibuat pada 10 pagi di HTAR bagi mengenal pasti punca kejadian.

Shamsul Amar berkata, pihaknya juga sudah menahan lelaki berusia 51 tahun di rumahnya iaitu lokasi mangsa ditikam.

“Kita turut merampas pisau dengan kesan darah yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa. Suspek adalah seorang OKU iaitu kaki kanannya kudung dari bawah lutut.

“Siasatan mendapati mangsa selalu datang ke rumah berkenaan untuk tujuan lepak dan dipercayai sering mengusik suspek,” katanya.

Shamsul Amar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 12:29 AM