Ruwaida Md Zain


Klang: Polis giat memburu seorang suspek dipercayai ahli Geng 24 Apache yang memiliki pistol jenis revolver Smith dan Wesson yang tercicir ketika melarikan diri dalam satu pergaduhan di Taman Mesra Fasa 3, Taman Sentosa di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian jam 11.10 malam itu, pihaknya menerima panggilan dari orang awam berhubung pergaduhan di lokasi berkenaan.

"Sepasukan polis Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bergegas ke lokasi. Polis tiba ketika suspek sedang bergelut dengan seorang lelaki yang dikenalinya.

"Sebaik melihat polis, dalam keadaan kelam kabut, suspek terus melarikan diri. Polis kemudiannya menemui satu objek menyerupai pistol tercicir di tempat kejadian.

"Polis turut menemui kereta jenis Proton Iswara Sedan warna putih milik suspek yang melarikan diri dari tempat kejadian," katanya dalam sidang media di IPD Klang Selatan di sini, hari ini.

Shamsul Amar menunjukkan pistol yang ditemui pihaknya. FOTO Faiz Anuar
Shamsul Amar menunjukkan pistol yang ditemui pihaknya. FOTO Faiz Anuar

Shamsul Amar berkata, susulan penemuan itu polis menyerbu rumah suspek di lokasi berhampiran dan merampas enam butir peluru hidup bertulis 'Gun Heaven' dalam beg galas milik suspek.

"Hasil pemeriksaan mendapati pistol itu jenis revolver Smith and Wesson, buatan Amerika Syarikat.

"Siasatan mendapati suspek adalah K Parameswaran, 31 yang mempunyai empat rekod jenayah membabitkan kes pecah rumah, samun, dadah, curi kenderaan.

"Suspek juga adalah bekas orang kena tahan di bawah kesalahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi Geng 24 Apache.

"Polis juga sedang menyiasat sama ada suspek bekas atau masih ahli geng terbabit," katanya.

Katanya, ketika kejadian berlaku, suspek dipercayai mabuk dan lelaki yang terbabit dalam pergelutan itu dipercayai jirannya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebin Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan enam sebatan. Polis juga akan membuat ujian balistik ke atas senjata api terbabit," katanya.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Inspektor M Ganesh (Cawangan D9) IPD Klang Selatan di talian 012-2765070.

d Azmin dan Mas Ermieyati menikmati makan tengah hari dengan anggota komuniti di Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah.
d Azmin dan Mas Ermieyati menikmati makan tengah hari dengan anggota komuniti di Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 11:46 PM