Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Empat lelaki yang aktif mengedar ganja ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, serbuan pertama pada 2.20 petang di kawasan parkir pasar raya di Taman Maju Jaya, di sini, pihaknya berjaya menahan dua lelaki dalam sebuah kereta jenis Peugeot.

Menurutnya, pemeriksaan dalam kenderaan itu menemukan satu beg galas berisi ganja seberat kira-kira 1 kilogram (kg) selain merampas wang tunai RM5,000.

"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai sedang menjalankan urusan jual beli dadah," katanya dalam pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, kira-kira jam 6.15 petang hari sama, hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek membawa kepada penahanan dua lagi rakan sejenayah mereka di sebuah apartment di Taman Pasir Permata, Kuala Lumpur, yang dijadikan tempat pembungkusan dadah.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan lapan ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat kira-kira 5.2 kg, papan pemotong, alat penimbang, pisau pemotong, gunting, pita pelekat dan botol kaca.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

"Sebuah kereta jenis Kia Forte dan motosikal Yamaha 135LC disita untuk tindakan lanjut. Dadah bernilai RM22,943.70 yang dirampas itu mampu dibekalkan kepada 6,200 penagih.

"Siasatan polis mendapati kumpulan ini aktif mengedar ganja sejak tahun lalu dengan mendapatkan bekalan daripada sindiket sebelum dibuat pembungkusan semula," katanya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk memburu dua lagi rakan sepenjenayah mereka.

"Semua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 4:11 PM