TAUFIK (kanan) mengedarkan penutup mulut dan hidung kepada murid SK Simpang Empat, Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
TAUFIK (kanan) mengedarkan penutup mulut dan hidung kepada murid SK Simpang Empat, Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

PRIHATIN dengan penularan wabak influenza, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Simpang Empat (SKSE) di Alor Gajah, hari ini mengedarkan 500 penutup mulut dan hidung kepada murid selain guru.

Sumbangan berkenaan bertujuan membantu mengelak guru dan murid daripada dijangkiti influenza selain memastikan pembelajaran berjalan seperti biasa tanpa menghadapi kemungkinan sekolah terpaksa ditutup akibat penularannya.

Yang Dipertua PIBG SKSE Taufik Abdul Rahman berkata, sejak ramai murid di seluruh negara dijangkiti wabak itu, pihaknya mengambil inisiatif mendapatkan penutup berkenaan.

“Kami bimbang murid dan guru dijangkiti wabak terbabit dan sebagai langkah pencegahan, kami mendapatkan penutup mulut dan hidung ini untuk diedar kepada mereka.

“Kami harap ia membantu mencegah penularan wabak terbabit,” katanya ditemui di sekolah itu hari ini.

MURID SK Simpang Empat memakai penutup mulut dan hidung. FOTO Hassan Omar
MURID SK Simpang Empat memakai penutup mulut dan hidung. FOTO Hassan Omar

Hadir sama, Guru Besar Norazah Alias Harun dan 421 murid termasuk 52 murid pra sekolah serta 69 guru dan kakitangan.

Sebelum penutup itu diedar, guru memberi penjelasan kepada murid mengenai influenza dan kaedah untuk mengelak daripada dijangkiti virus terbabit.

Pemakaian penutup mulut dan hidung mampu menghalang virus yang tersebar melalui udara daripada menjangkiti mereka yang memakainya.

Murid tahun enam, Suzalina Abdul Karim berkata, dia bimbang dijangkiti virus terbabit dan tidak keberatan untuk memakai penutup berkenaan.

“Saya berdoa supaya tidak dijangkiti influenza,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 6:14 PM