FOTO hiasan
FOTO hiasan
Zuhainy Zulkiffli

PELAJAR yang dijangkiti Influenza A di Pulau Pinang meningkat kepada 53 kes hari ini membabitkan 24 sekolah.

Pengarah Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, bagaimanapun setakat ini tiada arahan penutupan terhadap sekolah yang terbabit.

Katanya, sekolah berkenaan terdiri daripada 20 sekolah rendah dan empat sekolah menengah, dengan setiap satu hanya membabitkan seorang hingga tiga murid.

“JPN tidak pernah mengarahkan penutupan sekolah namun keputusan itu akan dibuat selepas mendapat nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri.

“Sehingga kini, JPN sudah menghantar surat ke semua sekolah memaklumkan mengenai langkah yang perlu diambil (sekiranya terdapat jangkitan),” katanya di Bukit Jambul, hari ini.

Semalam, dua kelas di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Li Hwa, Butterworth, diarahkan tutup 11 hari, selepas 19 muridnya dijangkiti wabak berkenaan.

Mereka dikesan jangkitan influenza Selasa lalu selepas ramai murid tahun dua tidak hadir malah pihak Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara (SPU) bersama Jabatan Kesihatan daerah SPU sudah membuat saringan dan pemeriksaan di sekolah terbabit.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid, berkata, murid, guru dan kakitangan sekolah dinasihatkan menggunakan pembersih tangan dan penutup muka jika terdapat pelajar yang positif influenza.

Katanya, ibu bapa pula disarankan tidak menghantar pelajar yang mempunyai simptom influenza ke sekolah, sebaliknya segera merujuk di klinik atau hospital berhampiran.

“Aspek kesihatan perlu diberi keutamaan di semua sekolah, terutama di tandas dan kantin bagi mencegah virus ini daripada merebak,” katanya lagi.

Sehingga kini, seramai 45 murid di 17 sekolah termasuk di SJKC Li Hwa dan lapan pelajar di tujuh sekolah menengah di jangkiti influenza.

Daerah SPU paling ramai dijangkiti iaitu 27 diikuti Timur Laut iaitu seramai 10 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 8:52 PM